Kejohanan Pencak Silat medan asah bakat pesilat muda – ADUN Lingga

Facebook
WhatsApp
DAYANG Noorazah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang Kejohanan Pencak Silat Jemputan Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak. Foto: ADUN Lingga

SIMANGGANG, 5 Oktober: Kejohanan Pencak Silat Jemputan Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak menjadi platform penting dalam mencungkil bakat pesilat muda, selain memupuk disiplin dan semangat persaudaraan dalam kalangan generasi baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pesilat mengasah kemahiran, malah membolehkan mereka menimba pengalaman serta mengeratkan hubungan antara perguruan silat.

Menurutnya, penglibatan aktif dalam sukan berkenaan perlu berjalan seiring dengan pencapaian akademik supaya pesilat muda mampu membina masa depan yang seimbang.

“Para pesilat muda perlu bijak mengurus masa agar terus memberikan tumpuan kepada pelajaran di samping aktif menjalani latihan dan menyertai pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Rasmi Kejohanan Pencak Silat Jemputan Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.

Dayang Noorazah yang juga Penaung Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak Wilayah Sri Aman berkata, silat bukan sekadar warisan budaya dan seni mempertahankan diri, tetapi turut berperanan membentuk disiplin serta jati diri generasi muda.

Katanya, latihan dan pertandingan silat dapat membantu membina keyakinan diri, ketahanan mental serta rasa hormat terhadap guru dan rakan seperjuangan.

“Nilai-nilai ini amat penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam gelanggang, tetapi turut mempunyai keperibadian dan sahsiah yang baik,” katanya.

Dayang Noorazah turut menegaskan kerjasama antara pertubuhan silat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti perlu terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang kepada pesilat muda mengembangkan potensi masing-masing.

“Usaha tersebut penting bagi memberi ruang kepada bakat-bakat baharu untuk melangkah ke peringkat pertandingan yang lebih tinggi, sekali gus mengharumkan nama Sri Aman dan Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dayang Noorazah merakamkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta atas semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.

Beliau turut menghargai sumbangan pihak penganjur, guru dan jurulatih, pegawai kejohanan, ibu bapa serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.

“Teruskan usaha, kekalkan disiplin dan junjung warisan silat. Cemerlang di gelanggang, cemerlang dalam pendidikan,” katanya.

Oleh Adi Safarman