KUCHING, 5 Oktober: Cadangan peningkatan gaji minimum perlu mengambil kira kemampuan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor berintensif buruh yang berdepan margin keuntungan lebih kecil dan peningkatan kos operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kayu-Kayan Sarawak (STA), Annie Ting berkata, pihaknya mengakui kepentingan meningkatkan gaji pekerja, namun skala kenaikan perlu dinilai dengan teliti bagi memastikan ia tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan, peluang pekerjaan dan daya saing ekonomi.
Menurutnya, peningkatan gaji minimum bukan sahaja memberi kesan kepada gaji asas pekerja, malah turut meningkatkan caruman berkanun dan kos berkaitan pekerjaan yang perlu ditanggung majikan.
Majikan juga mungkin berdepan tekanan untuk menyelaraskan gaji pekerja yang menerima gaji melebihi kadar minimum bagi mengekalkan perbezaan gaji yang bersesuaian.
Annie berkata, rangka kerja gaji minimum yang dilaksanakan kerajaan sejak 13 tahun lalu perlu terus diperkukuh menerusi pendekatan yang berperingkat dan boleh dijangka.
Katanya, kadar gaji minimum telah meningkat daripada RM800 kepada RM1,700 sebulan dalam tempoh berkenaan, sekali gus menjadikan mekanisme penetapannya semakin mantap.
“Sehubungan itu, kerajaan wajar memberi tumpuan kepada penetapan peratusan kenaikan dan pelarasan terhadap kadar gaji minimum sedia ada, berbanding menentukan jumlah baharu setiap kali semakan dibuat.
“Pendekatan yang progresif dan boleh dijangka akan memberi lebih kepastian kepada perniagaan serta membolehkan majikan merancang dan mengurus peningkatan kos buruh dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Annie berkata, pandangan itu susulan perbincangan mengenai cadangan peningkatan gaji minimum yang menimbulkan pelbagai reaksi berkaitan kesannya terhadap perniagaan, pekerjaan dan ekonomi keseluruhan.
Beliau menjelaskan, kapasiti majikan untuk menyerap peningkatan kos buruh berbeza mengikut saiz perniagaan, sektor dan wilayah.
Syarikat besar dan berkeuntungan tinggi mungkin mempunyai keupayaan lebih besar untuk menawarkan gaji lebih tinggi, namun keadaan itu tidak boleh dijadikan ukuran tunggal bagi semua majikan di seluruh negara.
“PKS dan perniagaan berintensif buruh lazimnya beroperasi dengan margin lebih kecil dan menghadapi cabaran lebih besar untuk menyerap kenaikan kos buruh yang ketara.
“Pendekatan dasar gaji yang mampan perlu mengambil kira perbezaan ini, khususnya keupayaan PKS dan sektor berintensif buruh dalam menanggung peningkatan kos,” tegasnya.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri semasa program Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 September lalu mengenai pelaksanaan gaji minimum RM3,100 bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak tahun lalu, Annie berpandangan pendekatan itu perlu dilihat berdasarkan kemampuan majikan yang berbeza.
Menurutnya, keupayaan syarikat besar untuk membayar gaji lebih tinggi tidak semestinya menggambarkan kemampuan semua majikan dalam sektor swasta.
Dalam pada itu, STA berpandangan kadar gaji minimum mengikut wilayah atau sektor merupakan pendekatan lebih munasabah dengan mengambil kira perbezaan kos sara hidup, keadaan ekonomi setempat, tahap produktiviti dan kemampuan sebenar majikan.
Annie berkata, walaupun kadar gaji minimum seragam lebih mudah dari segi pentadbiran, kerajaan perlu menilai kesannya terhadap pekerjaan, kelangsungan perniagaan, keadaan ekonomi wilayah dan daya maju sektor berbeza.
STA pada masa sama menegaskan sokongannya terhadap usaha meningkatkan gaji pekerja, namun skala dan masa pelaksanaan sebarang kenaikan perlu dipertimbangkan berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
Pendekatan seimbang penting bagi memastikan peningkatan gaji dapat dilaksanakan secara mampan tanpa memberi tekanan berlebihan kepada perniagaan, pekerjaan dan daya saing ekonomi keseluruhan.




