KUCHING, 5 Oktober: Sarawak mahu hasil penyelidikan dan inovasi tempatan tidak terhenti di peringkat idea, sebaliknya diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan dan perniagaan yang mampu menembusi pasaran di luar negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu memerlukan ekosistem inovasi yang menghubungkan penyelidik, syarikat, pelabur serta pasaran secara lebih tersusun.
Menurut beliau, penyelidik perlu diberi ruang untuk membangunkan idea, manakala syarikat pula berperanan menguji dan mengkomersialkan hasil penyelidikan berkenaan sebelum ia dibawa ke pasaran lebih luas.
Katanya, pelabur turut memainkan peranan penting dengan menyediakan sokongan bagi membolehkan produk atau perkhidmatan yang berpotensi berkembang dan bersaing di pasaran luar Sarawak.
“Bagi Sarawak, ini bermakna mewujudkan persekitaran di mana penyelidik boleh membangunkan idea, syarikat boleh menguji dan mengkomersialkannya, pelabur boleh menyokong pertumbuhannya dan produk atau perkhidmatan yang terhasil dapat mencari pasaran di luar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-9 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Abang Johari berkata, hubungan antara pengetahuan, keupayaan, pelaburan dan pasaran penting bagi memastikan inovasi tidak sekadar kekal sebagai hasil penyelidikan, tetapi mampu menghasilkan nilai ekonomi kepada Sarawak.
Menurutnya, pembangunan teknologi juga tidak boleh berlaku secara bersendirian kerana ia memerlukan sokongan serentak daripada infrastruktur, bakat, penyelidikan, industri, pelaburan dan akses kepada pasaran.
Katanya, apabila semua elemen berkenaan saling memperkukuh, idea yang lahir daripada institusi penyelidikan berpotensi berkembang menjadi produk dan perkhidmatan yang boleh dikomersialkan.
“Melalui hubungan antara pengetahuan, keupayaan, pelaburan dan pasaran inilah inovasi boleh bergerak melangkaui idea dan menjadi nilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan usaha Sarawak membina keupayaan tempatan dalam bidang teknologi dan inovasi, termasuk kecerdasan buatan, semikonduktor, aeroangkasa serta pengurusan sumber semula jadi.
Abang Johari berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan pembangunan teknologi dan penyelidikan di Sarawak mempunyai laluan yang jelas daripada peringkat penciptaan idea sehingga kepada penggunaan serta pengkomersialan di pasaran.
Oleh Shahrul Qaizat



