KUCHING, 5 Oktober: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) segera memeriksa dan menangani masalah jalan mendap di Lorong Stutong Baru 20A.
Beliau berkata, penduduk telah menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan sebahagian jalan yang semakin mendap kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna serta menjadi lebih serius sekiranya punca sebenar tidak ditangani.
Menurut Kong, MBKS tidak seharusnya sekadar menurap semula kawasan terjejas tanpa terlebih dahulu mengenal pasti punca mendapan.
“MBKS tidak boleh mengambil jalan mudah dengan hanya menurap lapisan asfalt baharu di kawasan terjejas.
“Jika tanah atau asas jalan sudah tidak stabil, kerja pembaikan dan penstabilan yang sewajarnya mesti dilakukan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, kerja penurapan semula tanpa menangani punca sebenar hanya memberikan penyelesaian sementara dan berkemungkinan menyebabkan masalah sama berulang.
“Jika tidak, penduduk mungkin akan berdepan masalah yang sama sekali lagi, manakala dana awam terpaksa dibelanjakan berulang kali untuk kerja pembaikan yang tidak menyelesaikan punca sebenar,” katanya.
Kong berkata, penduduk telah membangkitkan perkara itu kepada wakil masyarakat berkaitan dan berharap MBKS dapat mengambil tindakan segera.
Beliau turut menegaskan MBKS bertanggungjawab memastikan jalan raya di bawah bidang kuasanya berada dalam keadaan selamat, diselenggara dengan baik serta dibaiki menggunakan kaedah yang mampu bertahan dalam jangka panjang.
Oleh Connie Chieng




