Ekonomi baharu Sarawak perlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan gimik memotong kek pulut kuning sempena ulang tahun ke-40 DUBS di sebuah hotel terkemuka di Kuching.

KUCHING, 5 Oktober: Peralihan Sarawak kepada ekonomi berasaskan teknologi dan industri bernilai tinggi memerlukan tenaga manusia yang mampu menyesuaikan diri dengan teknologi moden serta meneroka bidang perniagaan baharu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perkara itu melibatkan rakyat Bumiputera dan bukan Bumiputera yang perlu mempunyai kemahiran sesuai dengan perubahan ekonomi semasa.

“Kualiti tenaga manusia kita, Bumiputera dan bukan Bumiputera. Mereka mesti mampu menyesuaikan diri dengan teknologi, teknologi moden, dan meneroka bidang perniagaan baharu,” katanya ketika berucap pada Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di Kuching, semalam.

Menurutnya, pendidikan dan latihan dalam bidang tertentu perlu diberi perhatian bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri baharu.

Beliau berkata penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting, terutama apabila Sarawak sedang membangunkan industri semikonduktor dan pembuatan termaju.

“Untuk Bumiputera berjaya mesti ada ilmu. Sekurang-kurangnya jurusan STEM,” katanya.

Abang Johari berkata perkembangan industri semikonduktor di Sarawak sudah membuka ruang kepada bakat tempatan dalam reka bentuk dan pembuatan cip.

Katanya, cip yang direka oleh anak Sarawak dan dihasilkan oleh syarikat fabrikasi cip di Sarawak telah dibeli oleh sebuah syarikat dari China untuk digunakan dalam meter elektrik pintar yang akan dipasarkan di negara itu.

Beliau berkata Sarawak turut mempunyai tenaga kerja tempatan yang dilatih dalam industri semikonduktor, termasuk di syarikat seperti Melexis dan X-FAB.

Menurutnya, terdapat program latihan selama enam bulan bagi menyediakan tenaga kerja sebelum memasuki industri, dengan gaji permulaan bagi sesetengah jawatan berkemahiran boleh mencapai sekitar RM8,000.

Dalam usaha menyediakan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi, Abang Johari berkata Sarawak turut melaksanakan pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak.

Katanya, kumpulan pertama membabitkan kira-kira 8,000 pelajar baharu dengan peruntukan sekitar RM250 juta setahun.

Jumlah itu, katanya, dijangka meningkat apabila kumpulan pelajar baharu memasuki institusi pengajian tinggi sehingga boleh mencecah kira-kira RM1 bilion dalam tempoh empat tahun.

Beliau berkata pelajar yang kurang menguasai STEM, khususnya daripada golongan Bumiputera, turut diberi peluang mengikuti tempoh persediaan selama setahun sebelum meneruskan pengajian dalam bidang berkaitan.

Pada masa sama, Abang Johari berkata DUBS perlu menyesuaikan ahlinya dengan perkembangan teknologi dan melatih mereka ke arah pembuatan termaju.

“DUBS mesti melatih ahli perniagaannya ke arah pembuatan termaju. Ini adalah era baharu, kalau tidak kita rugi,” katanya.

Menurutnya, perubahan teknologi bukan sahaja membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah membolehkan usahawan tempatan meneroka bidang perniagaan baharu dan mengambil bahagian dalam rantaian nilai industri.

Beliau turut menyifatkan industri perkhidmatan sebagai antara bidang yang mempunyai potensi untuk berkembang, termasuk sektor pelancongan yang disokong kekayaan khazanah alam dan budaya Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi