PENOLONG ketua jurulatih Selangor FC 2, Rusdi Suparman memuji impak yang diberikan oleh pemain simpanannya yang diamanahkan untuk membantu pasukan mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kuching City FC dalam aksi di Stadium Pasir Gudang petang Ahad lalu.
Rusdi turut mendedahkan beliau telah membariskan skuad kedua pasukan itu selepas beberapa tonggak utamanya belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan serta tiga pemain utama dipanggil untuk beraksi bersama pasukan senior.
“Untuk pengetahuan semua, pemain kesebelasan yang diturunkan pada petang ini kebanyakannya adalah pemain yang kurang minit permainan mereka.
“Kami dimaklumkan juga tiga pemain utama telah dinaikkan ke pasukan utama pada malam ini, sebab itu kita tidak banyak mempunyai masa untuk membuat persediaan pada perlawanan menentang Kuching City,” katanya.
Sementara itu, Rusdi menyifatkan keputusan seri 1-1 itu sebagai satu keputusan yang adil bagi kedua-dua pasukan setelah mempamerkan aksi terbaik.
“Kita sedar kita beraksi tanpa pemain utama dan ramai dibarisi pemain simpanan, tapi kita berjaya harungi perlawanan dengan membariskan pemain-pemain muda.
“Saya turut memuji aksi mantap benteng pertahanan kita yang berjaya bertahan serangan daripada pasukan Kuching City,” ujarnya.
Beliau berpendapat pemain import pasukan itu telah berjaya mengimbangi kepupayaan pemain muda dan diatas faktor itu menyebabkan kejayaan mereka mengekang kemaraan pasukan Kuching City membawa pulang mata penuh.
Selangor FC 2 selepas ini akan menanti kunjungan Terengganu FC II pada 10 September ini di Stadium Selayang.
Oleh ADI SAFARMAN