KUCHING: Bermula dengan kira-kira 20 peniaga, Pasar Tani Semula Jadi Kuching kini berkembang dengan menghimpunkan 171 penjual, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada petani tempatan dan pengusaha kecil untuk menjana pendapatan.
Memasuki tahun keempat penganjurannya tahun ini, inisiatif Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu bukan sekadar menjadi lokasi pemasaran hasil tempatan, malah berperanan sebagai platform yang menghubungkan masyarakat berbilang kaum serta menggalakkan gaya hidup sihat.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pasar berkenaan pada awalnya diwujudkan bagi menyediakan ruang kepada petani dan pengusaha tempatan memasarkan hasil mereka secara langsung kepada pengguna.

“Daripada 20, kemudian 40 dan sekarang kita mempunyai 171 penjual.
“Bagi saya, ini bukan sekadar sebuah pasar. Ia merupakan satu gerakan yang menunjukkan masyarakat mengambil berat mengenai kesihatan,” katanya.
Menurutnya, pasar berkenaan turut menjadi ruang kepada peniaga dan pengunjung daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, membina hubungan serta memperkukuh semangat komuniti.
Beliau berkata, MBKS akan terus menyokong perkembangan pasar berkenaan, termasuk merancang penyediaan kemudahan yang lebih sesuai pada masa hadapan.

Pasar Tani Semula Jadi Kuching turut mendapat pengiktirafan apabila disenaraikan dalam kelompok 29 finalis bagi satu pengiktirafan pembangunan mampan tahun ini menerusi kategori SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.
Sementara itu, Naslina dari Mama Nana Kitchen berkata, pasar berkenaan memberi peluang kepada suri rumah memperoleh pendapatan tambahan, selain menimba pengalaman dan membina rangkaian dalam bidang perniagaan.
Antara makanan tradisional Dayak yang ditawarkan ialah ayam pansuh, kari ayam terung asam dan kuih seri muka.
Fatin Liyana dari Satoyama Farm pula berkata, mereka mula berniaga di pasar berkenaan sejak 2024 dengan menawarkan ayam kampung organik, sayur-sayuran, buah-buahan daripada ladang sendiri serta ikan.

Menurutnya, pasar berkenaan membantu memberi pendedahan kepada petani tempatan untuk memasarkan sendiri hasil mereka.
Sementara itu, Hafshah berkata, penglibatan peniaga daripada pelbagai kaum turut membantu mengeratkan hubungan dalam komuniti, selain membuka peluang untuk menambah sumber pendapatan.
Secara keseluruhannya, Pasar Tani Semula Jadi Kuching bukan sahaja menyediakan ruang kepada petani dan pengusaha kecil untuk memasarkan hasil serta menambah pendapatan, malah menjadi platform yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum dan memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
Oleh Norman B




