BAU: Polis Bau terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah komersial menerusi program ceramah pencegahan jenayah komersial kepada kakitangan dan anggota polis bantuan di SSF Quarry Bau, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Bau itu bertujuan memberi pengetahuan kepada peserta supaya lebih berwaspada dan mampu mengenal pasti taktik penipuan yang semakin pelbagai.
Beliau berkata program yang dijalankan hari ini disertai 25 kakitangan SSF Quarry Bau dan anggota Polis Bantuan, selain turut dihadiri Pegawai Penasihat Pasukan Polis Bantuan, Dato’ Mancha Anak Ata.
“Ceramah ini memberi pendedahan mengenai trend jenayah komersial semasa termasuk penipuan telefon, penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud, keldai akaun, love scam serta penipuan bersemuka menggunakan QRPay,” katanya.
Peserta turut diperkenalkan kepada saluran dan kemudahan pencegahan seperti National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, aplikasi WHOSCALL dan Portal Semak Mule.
“Kesedaran merupakan benteng pertama dalam membendung jenayah komersial. Kita berharap perkongsian ini dapat meningkatkan literasi digital masyarakat serta menjadikan mereka lebih peka terhadap risiko penipuan,” katanya.
Haide berkata kerjasama antara polis dan masyarakat amat penting bagi mencegah jenayah komersial serta melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa sindiket penipuan yang semakin licik.
Oleh Connie Chieng




