Langit Yang Berbeza

Facebook
WhatsApp

DI sebuah rumah panjang yang terletak di Nanga Padeh, hiduplah seorang pemuda Iban yang bernama Gilang anak Ragai. Gilang, anak muda yang berusia 27 tahun, berkulit sawo matang, berbadan sasa disebabkan oleh pekerjaannya yang menebas ladang dan menternak khinzir di kampung itu.

Sejak kecil, dia dididik dengan adat budaya Iban yang sangat mendalam oleh kedua orang tuanya. Adat budaya yang kaya dengan pelbagai jenis upacara dan pantang larang.

Setiap kali perayaan Gawai Dayak, Gilang akan berseronok dengan menari tarian ngajatbersama rakan-rakannya yang lain di rumah panjang Nanga Padeh, diiringi bunyi engkerumong dan gong. Di sini, kehidupan berjalan perlahan, namun adat dan pegangan masih teguh walau zaman berubah.

Gilang melangkah perlahan di ruai rumah panjang milik ayahnya. Bau daun sireh dan buah pinang yang dimakan oleh penghuni-penghuni wanita di rumah panjang itu masih kuat melekat di ruang udara. Rumah panjang itu kini dijaga oleh Gilang bersamanya ayahnya, Ragai, atau lebih mesra dipanggil sebagai Abak Tuai.

Melangkah keluar dari ruai rumah panjang itu, Gilang menikmati mentari senja

Yang amat menenangkan. Namun hatinya gelisah dan tidak setenang pemandangan mentari senja tersebut. Fikirannya asyik memikirkan sosok wajah seorang gadis yang dikenalinya sudah cukup lama. Sudah 3 tahun dia mengenali Humaira, seorang guru Melayu yang berasal dari Kuala Lumpur.           

“Apa yang kau fikirkan sejak tadi tu Gilang? Resah benar muka kau, aku lihat,” kata Ragai kepada anak bujangnya itu.

“Tiada apalah, abak. Gilang hanya memikirkan tentang haiwan ternakan kita sahaja, ”jawab Gilang untuk menghilangkan risau ayahnya terhadap dirinya.

Ragai tahu benar perangai anak tunggalnya itu. Sudah pasti anaknya itu masih memikirkan wanita perantau yang dikenalinya dahulu. Seingat Ragai, wanita

itu merupakan lulusan pendidikan, lemah lembut dan berwajah tenang. Dia datang ke Nanga Padeh untuk melapor diri sebagai pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Betong.

***

Embun pagi masih tebal mengaburi daerah Betong. Di dalam bilik guru, Humaira yang mengenakan baju kurung berbunga kecil, dipadankan dengan tudung selendang ungu muda duduk mengelamun jauh menunggu waktu pembelajaran kelasnya.

Walaupun berada di kawasan yang majoriti penduduknya berbangsa Iban dan bukan beragama Islam, namun Humaira masih teguh dengan ajaran agama. Dia berusaha sebaik mungkin untuk menjaga auratnya.

Sejak kecil, Humaira telah dididik untuk menjaga batas antara agama dan budaya. Teringat pula dia semasa mula-mula dia ditawarkan untuk mengajar di Bumi Kenyalang, ramai kerabat keluarganya yang berkata, “Itu jauh Humaira. Cara hidupnya pun lain tau.”

Namun, Humaira percaya bahawa, ilmu harus dibawa ke mana perlu, bukan hanya ke tempat yang selesa. Dia juga beranggapan bahawa ini merupakan satu peluang untuk dirinya mengenali dan menerokai cara hidup, budaya dan kepercayaan masyarakat lain.

Kalau bukan sekarang, bila lagi dia hendak mendapat peluang keemasan seperti ini. Humaira hanya membalas soalan-soalan yang ditanyakan oleh ahli-ahli keluarganya dengan senyuman.

“Kamu yakin nak terima tawaran mengajar ini, nak? Kalau kamu rasa keberatan, kamu boleh tolak tawaran ini. Nanti kita cuba untuk buat permohonan yang lain,” kata Haji Samad kepada puterinya itu.

“Betul kata abah kamu tu Humaira,” sampuk Hajah Maimunah, isteri kepada Haji Samad yang sememangnya berat hatinya untuk melepaskan anak perempuannya itu merantau ke tempat orang.

“Abah dengan ibu janganlah risau. Sememangnya Humaira nak terima tawaran ni. Lagipun Humaira berminat sangat untuk belajar pasal budaya dan cara hidup bangsa lain. Anggaplah ini peluang untuk Humaira explore kebudayaan yang ada di Bumi Kenyalang tu,” jawab Humaira sambil tertawa kecil memandang wajah

ayahnya dan memegang lembut lengan lelaki tua itu.             

“Ya lah, kalau itu yang kamu nak, abah tak boleh nak halang dah. Yang penting kamu jaga diri dan akhlak di tempat orang ya?” jawab Haji Samad yang seakan terpujuk dengan kata-kata anak perempuannya itu. Namun dia yakin bahawa

puterinya itu mampu menjaga dirinya dan tidak akan melakukan perkara yang boleh

memudaratkan kehidupannya.

“Terima kasih banyak abah. Humaira janji akan sentiasa jaga diri, jaga akhlak dan solat. Humaira takkan kecewakan ibu dengan ayah,” jawab Humaira sambil memeluk ibu bapanya.

Lamunan Humaira terhenti apabila telinganya menangkap bunyi sapaan anak anak muridnya yang datang ke bilik guru untuk menemuinya.

“Selamat pagi, cikgu! Ada apa-apa barang yang cikgu mahu saya angkatkah?” tanya anak muridnya dengan pelat bahasa Iban yang pekat. Rambutnya disikat rapi dan baju sukannya dimasukkan ke dalam seluar yang membuatkan anak muridnya itu kelihatan kemas sebagai seorang pelajar.

“Selamat pagi. Terima kasih atas tawaran pertolongan kamu, tapi cikgu tiada apa-apa barang yang perlu kamu bawa ke kelas. Kamu balik dulu ke kelas kamu. Nanti cikgu masuk ye.”

Anak murid itu lalu mengangguk dan berlari anak menuju ke kelas seperti yang diarahkan oleh gurunya. Humaira hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepalanya melihat tingkah laku anak muridnya.

Sudah masuk tahun ketiga Humaira mengajar dan menetap di Bumi Kenyalang ini. Banyak juga pengetahuan mengenai budaya, keagamaan dan cara hidup masyarakat di Nanga Padeh ini diteliti olehnya. Humaira juga sudah mula terbiasa dengan norma hidup masyarakat di sini.

Ketertarikan Humaira dalam mempelajari budaya-budaya masyarakat penduduk Iban yang tinggal di rumah panjang Nanga Padeh telah membawa pertemuannya dengan Gilang buat pertama kalinya.

Gilanglah yang sering menjelaskan tentang simbolik seperti tatu bungai terung, pantang larang hutan, upacara miring dan perayaan hari Gawai Dayak dan Gawai Hantu kepada Humaira setiap kali dia dijemput untuk ikut serta di rumah panjang itu.

Walaupun beragama Islam, Humaira tidak pernah mempersoalkan dan menghina adat orang Iban, malah sering bertanya dengan nada penuh minat. Hal inilah yang membuatkan Gilang merasa jatuh cinta kepada Humaira sepanjang 3 tahun mereka berkenalan. Namun perasaan itu hanya mampu Gilang pendam dalam dirinya kerana dia risau akan reaksi Humaira.

Cahaya senja memancar kawasan ruai rumah panjangNanga Padeh pada petang itu. Kawasan itu dipenuhi dengan suara tawa dan jeritan anak-anak kecil yang sedang seronok bermain.

Musim cuti sekolah sudah bermula sempena sambutan perayaan Hari Gawai Dayak. Pada musim cuti sekolah, anak-anak biasanya akan menghabiskan masa lapang mereka untuk bermain manakala orang-orang dewasa dan tua akan sibuk berbincang dan melakukan persiapan untuk menyambut hari yang penuh makna itu.

Ada yang sibuk menyiapkan kuih jala, di tengah-tengah ruai rumah panjang. Ada juga yang sibuk menghias ruai rumah panjang, sementara lelaki pula kebiasaannya akan sibuk menyembelih khinzir, ayam dan mencari buluh di hutan untuk dijadikan lemang dan untuk memasak manuk pansuh.

Humaira turut membantu apa yang boleh dilakukan olehnya. Kehadiran Humaira amat disenangi oleh penghuni-penghuni rumah panjang itu memandangkan pada tahun-tahun yang lepas juga Humaira meraikan perayaan Hari Gawai Dayak bersama mereka juga.

Humaira sangat seronok dan fokus melihat proses penyediaan kuih jala yang dilakukan oleh penghuni wanita di rumah panjang itu. Humaira mendapati bahawa pembuatan kuih jalan ini menyeronokkan namun sukar untuk dilakukan jika tidak mahir dalam mengawal alat pembuat kuih jala itu.

Kuih jala masyarakat Iban tidaklah sama seperti kuih jala yang ada di tanah Semenanjung. Kuih jala yang ada di Tanah Semenanjung teksturnya adalah lembik dan berwarna kuning dan kebiasaannya dimakan bersama kuah kari ataupun sambal.

Berbeza dengan kuih jala masyarakat Iban, tekstur kuih jala mereka lebih rangup dan berwarna coklat kegelapan. Rasanya pula manis disebabkan penggunaan gula apong dalam adunannya dan dimakan begitu saja tanpa sebarang pencicah.

“Bila Humaira sampai? Tidak nampak pun datangnya tadi. Tiba-tiba sudah ada di ruai ini,” sapa Gilang, teruja melihat kehadiran Humaira di situ.

“Petang tadi saya sampai. Abak Tuaiyang tumpangkan saya naik kereta. Awak dari mana, Gilang?”

Gilang memegang terabai di tangannya, alat pelindung orang-orang Iban pada masa dahulu ketika berperang. Ia diperbuat daripada kayu dan mempunyai ukiran motif Iban pada permukaan depannya. Namun kini terabai dijadikan sebagai alat perhiasan rumah dan koleksi warisan masyarakat Iban.

“Oh, saya baru saja habis kemas stor tanjuk belakang tu. Terabai ni saya nak letak dekat depan ruai sebagai hiasan Hari Gawai Dayak esok. Nampak meriah sikit nanti,” jawab Gilang sambil tersenyum kepada gadis pujaannya dalam diam itu.

Tingkah laku mereka berdua hanya diperhatikan oleh Ragai yang berdiri di pintu ruai sejak tadi.

Hari yang dinantikan oleh seluruh penghuni rumah panjang Nanga Padeh telah pun tiba. Suasana di rumah panjang Nanga Padeh itu sudah mula meriah sejak malam gawai.

Penghuni-penghuni rumah panjang melakukan satu upacara adat tradis, iaitu ngirup aik pengayu. Para penghuni rumah panjang akan meminum air tuakyang diperbuat daripada ragi.

Pagi itu, Gilang segak mengenakan baju kemeja hitam lengan panjang dan dipadankan dengan baju burung. Bahagian lehernya pula ditambah aksesori rantai leher yang diperbuat daripada manik berwarna kuning, hitam dan merah. Setelah selesai bersiap, Gilang pun melangkah keluar dari biliknya dan berjalan menuju ke ruai.

Sebaik sahaja tiba di ruai, badan Gilang seakan-akan terkaku dan membatu. Matanya bersinar dan tidak berkedip seolah-olah dipukau. Gilang terpesona melihat Humaira yang mengenakan baju ngepan buat pertama kalinya.

Tubuh Humaira yang sedikit tinggi dan kurus kelihatan indah memakai baju ngepan itu. Ngepan ialah pakaian tradisional wanita kaum Iban yang memerlukan seseorang wanita itu menggunakan marek empang, selampai, kain pua kumbu dan sugu tinggi.

Di mata Gilang, Humaira terlihat seperti seorang wanita Iban cantik namun dalam versi muslimah. Gilang yang masih lagi dengan dunianya sendiri tadi akhirnya tersentak apabila Humaira menegur dan bertanyakan soalan kepadanya.

“Kenapa awak pandang saya begitu Gilang? Saya nampak pelik ke guna baju ngepan ni?” tanya Humaira dengan nada yang sedikit risau.

“Eh, tidaklah Humaira! Kamu tidak nampak pelik pun. Nampak cantik adalah. Saya hampir tidak kenal kamu tadi.” Sememangnya Humiarah kelihatan sangat menarik di mata Gilang pada hada hari itu.

Humairah menjadi sedikit malu kerana mendapat pujian yang sebegitu daripada seorang lelaki. “Awak ni janganlah puji saya lebih-lebih. Malu saya dibuatnya.”

Di ruai rumah panjang, semua orang sedang bergembira. Ada yang berseronok dan menari tarian ngajat sambil diikuti dengan alunan muzik tradisional kaum Iban dan ada juga yang menari tarian poco-poco beramai-ramai.

Anak-anak di rumah panjang itu kebanyakan sibuk ngabang, iaituaktiviti kunjung-mengunjung, bagi menikmati pelbagai juadah utama dan manisan yang disediakan oleh setiap pintu rumah panjang itu.

Ketika semua orang sibuk dengan kegiatan masing-masing, mata Gilang berlegar-legar mencari sosok Humairah. Humairah sedang seronok menari tarian poco-pocobersama makcik-makcik yang tinggal di pintu sebelah rumah panjang itu.

Raut wajah Humairah yang sangat gembira dilihat oleh Gilang sehingga secara tanpa sedar bibir Gilang juga turut melakarkan senyuman melihat tingkah laku wanita yang dicintainya itu. Selesai saja tarian poco-pocoitu, Gilang perlahan-lahan menghampiri Humairah.

“Humairah, kamu ikut saya sekejap bolehkah?” Nadanya perlahan, hanya dapat didengari oleh mereka berdua.

“Kenapa ni Gilang? Ada masalah ke?” tanya Humairah dengan wajah kebingungan. Wajah muka Gilang yang serius membuatkan Humairah kehairanan.

“Tak ada masalah. Saya cuma nak cakap sesuatu jak dengan kamu.” jawab Gilang dengan ayatnya yang bercampur dengan bahasa ibundanya.

Maka bergeraklah mereka berdua ke tanjuk belakang rumah panjang itu.

Keadaan di tanjuk menjadi agak sepi kerana jarak antara tanjuk belakang rumah panjang itu dengan ruai agak jauh namun bunyi-bunyi alunan muzik masih dapat kedengaran sedikit.

Humairah melabuhkan punggungnya di bangku kayu yang diperbuat daripada kayu berlian sambil terpinga-pinga melihat ke arah Gilang yang tidak dapat dijelaskan ekspresi riak wajahnya pada ketika itu.

“Gilang, perkara apa yang awak nak bincang dengan saya ni? Macam serius bunyinya,” Humairah meminta kepastian.

Gilang menarik nafas sedalam-dalamnya untuk mengumpulkan keberaniannya di depan Humairah, wanita yang dicintainya sejak 3 tahun lalu. Tangannya digenggam bagi menambah keberanian dirinya.

“Sebenarnya Humairah, saya mahu bagi tahu kepada kamu tentang perasaan saya. Saya sebenarnya sukakan kamu sejak kamu berpindah ke sini. Saya tertarik dengan sifat kamu, hormat kamu terhadap adat kaum kami, dan sifat baik hati kamu terhadap penghuni-penghuni di rumah panjang ini. Semua yang saya sebutkan itu tadilah yang buat saya sukakan kamu.” kata Gilang meluahkan perasaannya yang telah lama ditahan sejak mengenali diri Humairah. Terasa sedikit lega kerana sudah melepaskan beban yang dipikul oleh hatinya. Sekarang yang hanya ditunggu olehnya hanyalah jawapan daripada Humairah.

Pada mulanya Humairah kelihatan terkejut dengan pengakuan Gilang itu. Dia tidak pernah menyangka bahawa lelaki Iban itu menaruh perasaan terhadapnya dirinya.

“Sebelum itu, saya nak cakap terima kasih kat awak Gilang sebab awak dah banyak sangat tolong saya sejak pada mulanya saya jejak kaki di Nanga Padeh ni. Saya hargai perasaan awak pada saya. Saya hargai segala kata-kata dan pandangan awak terhadap saya. Saya minta maaf banyak-banyak sangat Gilang, saya tak dapat nak terima dan balas balik perasaan awak tu. Saya ada sebab yang kuat untuk saya beritahu awak. Pegangan agama kita berbeza, Gilang. Saya hormati agama awak dan saya tak nak awak berpaling dari Tuhan dan keluarga awak hanya semata-mata untuk mengejar rasa cinta awak terhadap saya.” jawab Humairah dengan rasa sedikit serba salah. Namun Humairah percaya tindakan dan keputusan yang dilakukan olehnya pada waktu itu adalah yang sepatutnya.

Hati Gilang seakan-akan dicucuk pedang apabila mendengar jawapan yang keluar daripada mulut Humairah. Hanya rasa perih dan sakit yang dirasakan olehnya. Namun masih juga digagahkannya diri untuk senyum dan bercakap dengan wanita yang telah menolak cintanya itu.

“Baik, saya faham. Saya akan cuba untuk terima keputusan kamu.” kata Gilang untuk menutup rasa kecewanya tetapi tetap mahu terlihat tenang di hadapan Humairah.

Humairah meminta diri dan membawa langkahnya untuk menuju ke ruai semula kerana dia risau akan menimbulkan fitnah jika terus berduaan dengan Gilang.

***

Humairah yang sedang baring di atas tilam mengambil telefon bimbitnya yang berada di sebelah kanannya untuk menelefon ibunya. Beberapa saat kemudian, panggilan telefonnya diangkat oleh ibunya.

Banyak cerita yang dibualkan oleh dua anak beranak itu setelah bertanya khabar. Humairah juga menceritakan tentang kejadian yang terjadi antara dirinya dengan Gilang kepada ibunya.

Dia menceritakan bahawa kini Gilang telah pun berkahwin dengan wanita Iban pilihan hatinya. Isterinya juga sedang sarat hamil anak pertama dan Gilang tampak gembira dan tidak sabar menunggu kelahiran cahaya matanya yang pertama.

Sejujurnya Humairah menumpang rasa gembira kerana Gilang sudah bertemu kebahagiaannya walaupun tidak bersama dirinya. Sememangnya Humairah ingin Gilang untuk menjalani kehidupan berkahwinnya dengan wanita yang memiliki pegangan agama dan adat yang sama dengan dirinya kerana Humairah masih lagi mengingati pesan ayahnya bahawa “Kamu boleh mencintainya namun jangan ambil dia daripada Tuhannya.”

Oleh Natalin Clara Natasia

Meneliti Elemen Yang Memperkukuh Puisi

PUISI merupakan karya sastera yang mengungkapkan pemikiran, perasaan, pengalaman dan pandangan hidup manusia melalui penggunaan bahasa yang indah, padat, terpilih

Sajak

Lukisan Kemarau lukisan kemarau pada tanah ada retak-retak kecil dari jauh seperti bersisik debu saling merintih ditiup angin dipaksa beralih