KLIA dijangka terima tiga atau empat syarikat penerbangan baharu menjelang akhir tahun

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto janaan AI

SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka menerima tiga atau empat syarikat penerbangan baharu menjelang akhir tahun ini, dengan perbincangan mengenainya kini berada pada peringkat lebih tinggi.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani, berkata pengendali lapangan terbang itu sedang membuat persiapan bagi menerima syarikat penerbangan baharu berkenaan, selaras dengan usaha berterusan untuk memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa di KLIA.

“Kami sedang menantikan ketibaan beberapa syarikat penerbangan dari sekarang hingga akhir tahun ini. Sekurang-kurangnya tiga atau empat syarikat penerbangan akan beroperasi sebelum akhir tahun dan kami sedang membuat persiapan untuk itu.

“Rundingan dengan syarikat penerbangan berkenaan sudah menunjukkan kemajuan dan seperti yang saya katakan, menjelang akhir tahun, kira-kira tiga atau empat syarikat penerbangan akan beroperasi di KLIA dan kami amat teruja mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan penerbangan sulung secara terus Gulf Air dari Bahrain ke Kuala Lumpur di Terminal 1 KLIA di sini hari ini.

Mohd Izani berkata Malaysia Airports mahu memastikan KLIA berada pada kedudukan yang baik untuk menampung lebih banyak syarikat penerbangan yang terbang ke negara ini, khususnya ketika Malaysia berusaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

Sementara itu, beliau berkata MAHB sedang membuat persiapan bagi menghadapi peningkatan pergerakan penumpang dan pengunjung sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Kira-kira 200,000 penonton dijangka menghadiri perlumbaan itu sepanjang tiga hari berkenaan, dengan jumlah kehadiran tertinggi dijangka dicatatkan pada Ahad, katanya.

Mohd Izani berkata kerajaan turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi memastikan agensi berkaitan bekerjasama untuk melancarkan pergerakan sepanjang acara itu, dengan MAHB antara agensi yang menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penonton menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan memandangkan kemudahan tempat letak kenderaan di sekitar KLIA adalah terhad.

Malaysia bakal menyaksikan kembalinya perlumbaan F1 ke SIC selepas sembilan tahun menerusi penganjuran F1 Bahrain GP.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar F1 berikutan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia adalah hasil kejayaan diplomasi antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.

Berhubung penerbangan sulung secara terus Gulf Air antara Bahrain dan Kuala Lumpur, Mohd Izani berkata kembalinya syarikat penerbangan itu ke KLIA amat bertepatan pada masanya, terutama menjelang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dengan jumlah pelawat antarabangsa yang dijangka meningkat, kami bersedia menguruskan aliran penumpang yang lebih tinggi dan mempunyai pelan operasi yang telah disediakan di kedua-dua terminal.

“Ini termasuk mengoptimumkan aliran penumpang, bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan agensi kerajaan berkaitan, serta memperkukuh sokongan di lapangan bagi memastikan pengalaman ketibaan yang lancar dan mesra,” tambahnya.

Menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner, perkhidmatan Gulf Air itu akan beroperasi sepanjang tahun dengan kekerapan tiga kali seminggu.

Pelancaran itu menjadikan Gulf Air syarikat penerbangan ke-10 dari Timur Tengah yang beroperasi di KLIA, sekali gus memperluas lagi rangkaian penerbangan antarabangsa di lapangan terbang berkenaan. – Bernama