Polis kesan sindiket dadah rekrut lima rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan . Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah di negara ini yang dipercayai merekrut lima rakyat Malaysia sebagai keldai dadah sebelum mereka ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kesemua suspek, iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 30 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Beliau berkata mereka disyaki cuba menyeludup lima kilogram dadah sintetik jenis etomidate yang disembunyikan di pelapik dalam kasut (insole) masing-masing.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek selepas petugas Kastam dan Eksais Indonesia mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu terbabit.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati setiap seorang membawa dua bungkusan serbuk yang disyaki etomidate, dengan berat kira-kira 500 gram bagi setiap bungkusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hussein berkata pihaknya telah menerima perkongsian maklumat daripada Direktorat Tindak Pidana Narkoba (Dittipidnarkoba), Badan Reserse Kriminal (Bareskrim), Polis Republik Indonesia (Polri) berhubung penahanan lima rakyat Malaysia itu.

Beliau berkata tangkapan tersebut melibatkan tiga individu dari Sarawak dan dua dari Pahang, dengan seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan kesalahan dadah, manakala empat lagi tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Hussein turut mengesahkan bahawa aktiviti penyeludupan dadah jenis etomidate merupakan trend baharu yang dikesan pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan kelima-lima suspek berkenaan ditahan sejurus mendarat di Jakarta menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur pada 25 September lepas.

Susulan penahanan mereka, pihak berkuasa Indonesia berjaya membongkar sebuah makmal rahsia yang menghasilkan cecair vape mengandungi dadah di sebuah apartmen di Jakarta Utara. – Bernama

JPJ Kuching periksa 222 kenderaan, enam disita

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita enam kenderaan dalam operasi penguatkuasaan melibatkan motosikal, kenderaan mewah dan pemandu warga asing (Pewa)