Alonso bakal harungi musim ke-24 F1 bersama Aston Martin pada 2027

Facebook
WhatsApp
Fernando Alonso

LONDON: Fernando Alonso akan kekal bersama Aston Martin bagi musim Formula Satu (F1) 2027 bergandingan dengan Lance Stroll, lapor PA Media/dpa.

Alonso, yang memenangi kejuaraan dunia dua musim berturut-turut bersama Renault pada 2005 dan 2006, akan berusia 46 tahun pada tahun depan dan sebelum ini timbul spekulasi bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bersara.

Bagaimanapun, pelumba Sepanyol itu berkata keinginannya untuk terus mencipta kejayaan masih membara seperti sebelum ini, dengan Aston Martin dijangka mengekalkan gandingan pemandu sama bagi musim kelima berturut-turut.

“Saya mengambil masa untuk membuat keputusan ini, tetapi perlumbaan adalah kehidupan dan minat saya, dan saya tahu saya masih mempunyai kepantasan serta keazaman untuk bersaing di peringkat tertinggi,” kata Alonso dalam kenyataan media pasukan itu pada Selasa.

“Saya komited untuk jangka panjang bersama pasukan ini dan membantu kami mencapai kejayaan. Saya benar-benar yakin dengan apa yang sedang kami bina: kami mempunyai kepimpinan yang kukuh, tenaga kerja, rakan kongsi dan kemudahan yang luar biasa.”

Pelumba Kanada, Stroll dijangka mengharungi musim ke-11 F1 pada 2027 selepas menyertai pasukan milik bapanya buat kali pertama pada 2019.

“Saya amat gembira untuk terus bersama Aston Martin Aramco bagi jangka panjang. Saya mengikuti perjalanan ini sejak awal dan percaya kami mempunyai sumber serta tenaga kerja untuk menjadi pasukan yang mampu mencatat kemenangan,” katanya.

“Begitu banyak usaha sedang dilakukan di Silverstone dengan kemajuan nyata dicapai, dan keazaman yang saya lihat dalam setiap bahagian menjadi motivasi besar kepada saya. Saya tahu kami sedang menuju ke arah yang betul dan komitmen saya kini lebih kuat berbanding sebelum ini untuk membantu kami mencapai sasaran.”

Pengerusi Eksekutif Aston Martin Lawrence Stroll yakin kedua-dua pelumba itu mampu terus membawa pasukan berkenaan ke hadapan.

“Kami berada di sini untuk menang dan meskipun tumpuan jangka pendek kami kekal kepada usaha meningkatkan prestasi, saya percaya kami mempunyai bakat bertaraf dunia yang diperlukan untuk mencapai objektif jangka panjang,” katanya. – Bernama