KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita enam kenderaan dalam operasi penguatkuasaan melibatkan motosikal, kenderaan mewah dan pemandu warga asing (Pewa) di sekitar bandar raya ini.
Menurut kenyataan JPJ hari ini, operasi menerusi Unit Operasi JPJ Kuching itu turut memeriksa sebanyak 222 kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, antaranya lesen memandu tamat tempoh, tidak menggunakan tali pinggang keledar, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta kesalahan teknikal kenderaan.



“Enam kenderaan pelbagai jenis yang disita pula melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans tamat tempoh serta kenderaan dipandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah,” katanya hari ini.
JPJ mengulas lanjut, semua tindakan penguatkuasaan dan sitaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai diingatkan supaya memastikan lesen memandu, LKM dan perlindungan insurans kenderaan masing-masing masih sah sebelum digunakan di jalan raya.
“Pengguna jalan raya turut diminta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mematuhi spesifikasi serta peraturan ditetapkan,” jelasnya.
JPJ menyatakan operasi penguatkuasaan, rondaan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya.





