MIRI: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri telah menyampaikan dua kotak masing-masing berisi 20 botol cecair sanitasi tangan kepada Tabika Kemas Mohd. Amin di Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, pada Rabu.
Timbalan Pengerusi PBSM Daerah Miri, Datuk Lee Kim Shin memberitahu cecair sanitasi tangan ini merupakan sumbangan sebuah syarikat dari Jepun.
Lee yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri merakamkan ribuan terima kasih kepada syarikat berkenaan dan juga PBSM Cabang Miri atas inisiatif dan misi kemanusiaan dalam mencegah Covid-19 dengan menyumbang sejumlah besar cecair sanitasi kepada agensi pendidikan dan kerajaan di Bahagian Miri.
Turut hadir dalam rombongan penyerahan cecair sanitasi tangan ialah Pengurus Pentadbiran PBSM Cabang Miri, Lui Yee Lan dan Pegawai Kemas Bahagian Miri Encik Josipah Sabas.
Dalam lawatan lain, Lee turut menyampaikan geran tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lopeng Tengah dan SM Riam Miri .
“Geran yang diperuntukkan kepada SMK Lopeng Tengah Miri adalah untuk menaiktarafkan kemudahan infrastruktur di sekolah supaya suasana belajar dapat dipertingkatkan.
“Contohnya, ruang basin cuci tangan untuk 19 orang sekali gus telah disediakan sebagai satu langkah menjaga kebersihan sendiri bagi murid untuk mencegah sebarang kuman dan virus,” kata Lee.
Manakala , katanya geran yang diserahkan kepada Lembaga Pengarah Riam Road Secondary School (RRSS) pula bertujuan untuk membantu pihak sekolah dalam menaik taraf kemudahan infrastruktur internet bagi pembelajaran dan pengajaran secara digital online serta kelengkapan prasarana sekolah.
“Contohnya, para guru telah menghadiri beberapa kursus yang berkaitan dengan bidang STEM dan juga pembelian perisian komputer and perkakasan koding dan lain-lain,”ujarnya.
Sementara itu, kedua-dua pihak sekolah tersebut merakamkan ribuan terima kasih kepada Datuk Lee kerana sentiasa peka dan membantu dengan sedaya upaya segala masalah dalam bidang pembangunan pendidikan selama ini.
Oleh LIONG CHAI LING