Sepang bakal saksikan kembalinya F1 selepas sembilan tahun

Facebook
WhatsApp
KEMBALINYA Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Foto janaan AI.

SEPANG: Kembalinya Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun bakal menawarkan cabaran baharu kepada pemandu dan perlumbaan yang mungkin sukar diramal bagi peminat apabila F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix berlangsung pada hujung minggu ini.

Pengurus Besar Persekutuan Permotoran Bahrain (BMF) Abdulaziz Al Thawadi berkata susun atur SIC yang mencabar serta keadaan cuaca yang berubah-ubah boleh menjadikan perlumbaan pada 2 hingga 4 Oktober ini amat menarik bagi pemandu, khususnya mereka yang tidak mempunyai pengalaman berlumba di litar Malaysia itu.

“Ia sepatutnya tidak sukar bagi mereka, tetapi ia akan menjadi sesuatu yang baharu, susun atur yang berbeza. Pemandu sentiasa gemar susun atur yang berbeza, litar yang berbeza dan cabaran yang berbeza,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Al Thawadi berkata pemandu yang tidak biasa dengan SIC boleh membuat persediaan menggunakan simulator, manakala keadaan cuaca di litar itu mungkin memaksa pasukan menyesuaikan strategi sepanjang hujung minggu.

“Di sini, ya. Kami masih ingat beberapa perlumbaan di sini yang menyaksikan hujan yang sangat lebat. Jadi, ya, di sini kami tidak boleh meramalkan apa-apa.

“Maksud saya, lihat sahaja cuaca hari ini. Semalam cerah, hari ini berkabut. Setiap hari berbeza.

“Jadi, sebenarnya itu satu perkara yang baik. Ia bagus untuk para pemandu dan merupakan cabaran yang baik. Mereka mengubah strategi dan perlumbaan akan menjadi lebih menarik,” katanya.

Beliau menyifatkan SIC sebagai antara litar terbaik dari segi susun atur dan ciri trek sambil menambah bahawa maklum balas daripada pasukan F1 adalah positif.

Al Thawadi berkata kontinjen BMF seramai 522 orang yang terdiri daripada pegawai perlumbaan, kakitangan pentadbiran dan marsyal telah dihantar bagi acara itu.

Mereka dibantu kira-kira 300 marsyal Malaysia serta petugas perubatan, pertahanan awam dan anggota sokongan tempatan yang lain, menjadikan jumlah keseluruhan tenaga kerja hampir 1,000 orang.

F1 kali terakhir berlangsung di SIC pada 2017 apabila Max Verstappen menjuarai Grand Prix Malaysia.

Litar itu menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum digugurkan daripada kalendar F1.

Perlumbaan pada hujung minggu ini menandakan kembalinya F1 ke SIC selepas sembilan tahun, dengan Grand Prix Bahrain dipindahkan ke Malaysia selepas perlumbaan asal yang dijadualkan berlangsung di Sakhir pada April dibatalkan susulan situasi di Asia Barat. – Bernama

Gakpo tarik diri daripada skuad Belanda

LONDON, United Kingdom: Cody Gakpo menarik diri daripada skuad Belanda akibat kecederaan buku lali, sekali gus menambah masalah kecederaan yang