PEMAIN gantian Kuching City FC, Amir Amri Salleh muncul wira buat pasukannya selepas menjaringkan gol kemenangan apabila berjaya mengejutkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), petang semalam.
Kemenangan kedua berturut-turut selepas menundukkan Kelantan FC 3-1 baru-baru ini, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu sekali gus keluar daripada zon penyingkiran selepas naik ke tangga sembilan selepas mengumpul sebanyak 16 mata.
Kuching City terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan penyerang JDT II, Fernando Rodriguez pada minit ke-17 berpunca daripada sepakan percuma Nafizuddin Fauzi menyaksikan Rafiefikri Rosman pantas menolak bola tepat kepada Rodriguez yang bertindak merembat bola deras menewaskan Wan Muhammad Azraie.
Sebelum itu, Kuching City selaku tuan rumah pada perlawanan itu terlepas peluang membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila bola sepakan percuma Aylton Ananias melencong sipi ke penjuru kanan gawang ketika penjaga gol, T Shaheewaran terpaku di gawang sendiri.
JDT II yang kerap mengasak ke kubu Kuching City hampir mencipta beberapa jaringan namun kecekapan penjaga gol tuan rumah, Wan Muhammad Azraie Wan Teh menafikan semua peluang yang diciptakan barisan pemain lawan.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim bertindak mengasak ke kubu anak didik Rafael Gil Sanchez dalam usaha memburu gol penyamaan namun berjaya dihalang benteng skuad Merah Biru yang diterajui Fadhli Shas dan Adib Zainuddin.
Usaha tuan rumah untuk memburu gol penyamaan berhasil apabila gerakan solo Mohd Irwan Syazmin Wahab pada minit ke-58 apabila menyusup masuk ke dalam kotak penalti membolehkan skuad The Cats menyamakan jaringan selepas merembat bola tepat ke gawang gol menewaskan Shaheewaran.
Ketika aksi berbaki lapan minit untuk ditamatkan, bermula daripada bola umpanan pemain gantian, Zainuddin Bohri membuka ruang buat pemain gantian Amir Amri Salleh melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan menewaskan Shaheewaran dan kedudukan 2-1 kekal milik Kuching City FC sehingga tamat perlawanan.
Dengan kemenangan itu membolehkan skuad The Cats melonjak ke tangga kesembilan Liga Premier dengan mengumpul sebanyak 16 mata, manakala JDT II masih kekal di tangga keempat selepas menghimpun 27 mata.
Oleh ADI SAFARMAN