Celine Dion tampil mengejut di pentas Minggu Fesyen Paris

Facebook
WhatsApp
PENYANYI Kanada Celine Dion bersama model Jerman Heidi Klum, atlet Itali Beatrice Vio, pelakon Amerika Syarikat Aja Naomi King, pelakon dan penerbit Amerika Syarikat Viola Davis, model England Cara Delevingne, penyanyi Kanada Celine Dion, model dan pelakon India Aishwarya Rai, pelakon Afrika Selatan Ama Qamata, pelakon Britain Simone Ashley, pelakon Amerika Syarikat Eva Longoria, model Amerika Syarikat Kendall Jenner dan model Amerika Syarikat Andie MacDowell bergambar di pentas peragaan ketika pertunjukan fesyen koleksi pakaian wanita musim bunga-musim panas 2027 oleh L'Oreal Paris sempena Minggu Fesyen Paris di Paris pada 28 September 2026. Foto AFP

PARIS, Perancis: Celine Dion membuka tirai Minggu Fesyen Paris dengan penuh gaya apabila penyanyi itu tampil di pentas peragaan di bawah Menara Eiffel dan mendendangkan lagu “I’m Alive” dalam persembahan mengejut yang mendapat sambutan meriah penonton.

Bintang Kanada itu tampil di pentas peragaan pada penghujung pertunjukan tahunan L’Oreal, mengenakan gaun hitam anggun dan menerima tepukan gemuruh dalam salah satu acara pembukaan paling berprestij dalam kalendar fesyen.

CELINE Dion membuat persembahan ketika memperagakan rekaan L’Oreal Paris bagi koleksi pakaian wanita musim bunga-musim panas 2027 sempena Minggu Fesyen Paris di Paris pada 28 September 2026. Foto AFP

Sambil tersenyum dengan rambut terurai, penyanyi itu mempersembahkan lagu popularnya yang diterbitkan pada 2002 sebelum disertai barisan duta L’Oreal yang terdiri daripada bintang ternama, termasuk Viola Davis, Simone Ashley, Aja Naomi King dan Eva Longoria.

Bintang kelahiran Quebec itu baru-baru ini mengumumkan kemunculannya semula di pentas menerusi siri 26 persembahan di ibu negara Perancis itu, dengan 16 persembahan dijadualkan pada September dan Oktober, manakala 10 lagi dirancang pada Mei 2027.

Minggu Fesyen Paris yang menampilkan koleksi pakaian wanita musim bunga-musim panas berlangsung sehingga 6 Oktober.

Dengan Dior, Tom Ford, Schiaparelli dan Givenchy masih belum memperkenalkan koleksi terbaharu masing-masing, Dion mungkin turut kelihatan di barisan hadapan beberapa pertunjukan terbesar musim ini. – AFP