Tujuh kawasan catat IPU tidak sihat, Serian tertinggi

Facebook
WhatsApp
TUJUH kawasan di Sarawak mencatat kualiti udara tidak sihat setakat 9.00 pagi hari ini, dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi 175.

KUCHING: Tujuh kawasan di Sarawak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9.00 pagi ini, dengan Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 175.

Berdasarkan pemantauan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Samarahan dan Lundu masing-masing merekodkan IPU 160, diikuti Kuching (159) serta Betong (151).

Sri Aman turut berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan 133, manakala Lubok Antu mencatat IPU 123.

Sementara itu, lapan kawasan merekodkan kualiti udara sederhana iaitu Tebedu dan Kanowit masing-masing 99, Sarikei (76), Sibu (72), Mukah (69), Samalaju (68), Bintulu (66) serta Kapit dan Belaga masing-masing 62.

Lima kawasan pula masih mencatat kualiti udara baik dengan Miri merekodkan IPU 40, Lawas (38), ILP Miri (36), Limbang (31) dan Bario (25).

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 adalah tidak sihat.

Setakat 9.00 pagi, tiada kawasan di Sarawak merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat atau lebih buruk.