Kawasan penjaja Stadium Taha Ariffin bakal ditambah baik, lebih selesa dan mesra penyokong

Facebook
WhatsApp
DATO Fazzrudin Abdul Rahman mengadakan pertemuan bersama para penjaja di Stadium Taha Ariffin bagi mendengar pandangan, permasalahan serta cadangan mereka berkaitan operasi jualan pada hari perlawanan. Foto: Fazzrudin A Rahman

PETRA JAYA: Kuching City FC (KCFC) merancang untuk menambah baik serta menyusun semula kawasan penjaja di Stadium Taha Ariffin bagi mewujudkan suasana lebih selesa, teratur dan mesra penyokong pada hari perlawanan.

Pengerusinya, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah penambahbaikan menyeluruh selaras dengan perkembangan kelab yang kini bergerak ke tahap lebih tinggi.

Menurutnya, kawasan sekitar stadium juga perlu diberikan perhatian, bukan hanya aspek di dalam stadium, bagi memastikan pengalaman penyokong pada setiap hari perlawanan dapat dipertingkatkan.

“Bila Kuching City FC bergerak ke tahap yang lebih tinggi, banyak perkara perlu kita tambah baik, bukan sahaja di dalam stadium tetapi juga kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama para penjaja di Stadium Taha Ariffin bagi mendengar pandangan, permasalahan serta cadangan mereka berkaitan operasi jualan pada hari perlawanan.

Fazzrudin berkata, para penjaja merupakan sebahagian daripada suasana dan pengalaman penyokong ketika menyaksikan perlawanan, justeru kepentingan mereka turut perlu diberi perhatian dalam perancangan pembangunan kelab.

Antara cadangan yang dibincangkan ialah penyusunan semula dan penambahbaikan kawasan penjaja supaya lebih kemas dan selesa, sekali gus memudahkan penyokong mendapatkan makanan serta minuman sebelum atau selepas perlawanan.

“Pada masa sama, kita mahu membantu melancarkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan di sekitar stadium,” katanya.

Beliau berkata KCFC juga akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) berhubung kaedah terbaik untuk melaksanakan cadangan berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Fazzrudin turut mendengar sendiri pelbagai maklum balas daripada penjaja, termasuk isu berkaitan jualan ketika perlawanan berlangsung.

Katanya, semua pandangan yang dikemukakan amat penting untuk diteliti bersama pihak pengurusan sebelum sebarang langkah susulan dilaksanakan.

“Kita mahu para penjaja yang selama ini menjadi sebahagian daripada suasana hari perlawanan dapat sama-sama bergerak maju seiring dengan perkembangan kelab,” katanya.

Fazzrudin turut merakamkan penghargaan kepada semua penjaja yang hadir dan berkongsi pandangan secara terbuka, sambil menegaskan perbincangan seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan setiap perancangan memberi manfaat kepada penjaja, penyokong dan Kuching City FC secara keseluruhannya.

Oleh Adi Safarman