BAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun selepas merampas 5.28 gram dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Skiat Baru di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 3 petang pada 28 September menerusi Op Bersepadu dan Op Kesan BSJND Bil. 157/2026.
Beliau berkata, pemeriksaan menemukan sebuah bekas Mentos berwarna merah jambu yang mengandungi satu paket plastik bersaiz sederhana bersama tujuh paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Dadah berkenaan mempunyai berat keseluruhan 5.28 gram dan dianggarkan bernilai RM500,” katanya.
Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine melalui saringan awal air kencing.
Suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod lampau.
Kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau dan permohonan reman akan dibuat hari ini.





