PGA Sarawak perkasa keupayaan SAR, 11 hari redah ‘Amazon Asia’

Facebook
WhatsApp
LATIHAN SAR KDNKA Sarawak 2026 yang dilaksanakan Briged Sarawak, PGA di Hutan Simpan Gunung Serapi, berakhir dengan jayanya selepas berlangsung selama 11 hari. Foto Briged Sarawak PGA

KUCHING: Latihan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sarawak 2026 yang dilaksanakan Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Hutan Simpan Gunung Serapi, berakhir dengan jayanya selepas berlangsung selama 11 hari.

Menurut kenyataan media Briged Sarawak PGA, latihan yang bermula pada 18 September dan berakhir hari ini menjadi medan menguji ketahanan fizikal dan mental peserta, selain memperkukuh kemahiran, ketangkasan serta kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi operasi SAR di kawasan mencabar.

Hutan Simpan Gunung Serapi yang mempunyai bentuk muka bumi bergunung-ganang, rangkaian sungai dan jeram kompleks serta keadaan cuaca yang tidak menentu memberikan cabaran tersendiri kepada peserta sepanjang latihan.

Antara kemahiran yang didedahkan termasuk ikatan tali, rappelling, abseiling, fast roping, hover jump dan winching, selain pengendalian Bilik Gerakan Operasi (OCC), SAR Deep Jungle dan Combat Search and Rescue (CSAR).

Latihan itu turut memberi penekanan terhadap peningkatan keupayaan PKP/PRP, Tiger Platoon dan elemen infantri dalam menghadapi situasi krisis serta bencana, termasuk penggunaan peralatan SAR secara berkesan dan selamat.

Dalam aspek teknologi, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Briged Sarawak mengaplikasikan peranti inovasi ‘Dr Tracker’ bagi membantu mengenal pasti serta memantau kedudukan tepat peserta SAR ketika berada di kawasan belantara.

Penggunaan peranti berkenaan memberi nilai tambah dari aspek pemantauan dan keselamatan peserta, selain membantu pasukan mendapatkan maklumat lokasi dengan lebih pantas ketika operasi SAR dilaksanakan di kawasan sukar diakses.

Unit Dron Briged Sarawak turut memainkan peranan dalam memperkukuh keupayaan peninjauan dan pemantauan udara menerusi penggunaan teknologi pengesanan haba serta inframerah yang membolehkan kawasan dipantau pada waktu siang dan malam.

Penglibatan Pasukan 69 Komando, Unit Dron Briged Sarawak, KIK Briged Sarawak serta batalion-batalion di bawah pentadbiran Briged Sarawak PGA turut memperkukuh aspek kerjasama, koordinasi dan penggunaan teknologi dalam pelaksanaan operasi SAR.

Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan bukan sekadar menguji kemahiran teknikal, malah turut menilai aspek disiplin, kepimpinan, ketahanan serta semangat kerja berpasukan anggota ketika berdepan situasi mencabar dan tidak menentu.

Pelaksanaan latihan dikawal selia di peringkat keseluruhan oleh Pengarah JKDNKA, manakala aspek Command and Control dipertanggungjawabkan kepada Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai.

Bagi aspek Ground Command pula, tanggungjawab berkenaan dipertanggungjawabkan kepada Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Superintenden Ku Majidin Che Ku Jusoh.

Melalui pelaksanaan Exercise SAR 2026, Briged Sarawak PGA terus memperkukuh keupayaan anggota dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman, krisis dan bencana, di samping menggabungkan kemahiran manusia, teknologi serta inovasi dalam menyokong operasi mencari dan menyelamat.

Latihan itu sekali gus memperlihatkan komitmen Briged Sarawak PGA untuk memastikan setiap pegawai dan anggota sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi serta bersedia melaksanakan amanah demi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

Oleh Adi Safarman