BINTULU: Permintaan tambahan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi pembangunan sektor padi Sarawak akan dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata permintaan itu penting dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara, selain meningkatkan pengeluaran beras Sarawak yang mampu menyumbang kepada tahap sara diri (SSL) beras negara.
“Saya akan bawa ke Kabinet supaya isu makanan ini adalah masalah keterjaminan makanan dan kesedaran terhadap keperluan kecukupan makanan,” katanya ketika ditanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, sekiranya Sarawak mampu menghasilkan bekalan beras yang mencukupi untuk keperluan negeri, ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan SSL beras di peringkat negara.
Mohamad berkata pembangunan sektor padi Sarawak perlu diperkasakan memandangkan sebahagian pengeluaran ketika ini masih diusahakan secara berskala kecil.
Katanya, penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan mencapai sasaran SSL beras negara.
“Padi ini kita kena lebih kuat kerana masih lagi diusahakan secara kecilan dan teknologi lapangan itu penting.
“Penekanan Premier mengenai teknologi moden itu cukup penting. Kalau kita tidak berpindah kepada teknologi moden, kita amat sukar untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus SSL dalam masa tujuh hingga lapan tahun yang akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan kawasan penanaman padi di Sarawak perlu disokong dengan penyelidikan berkaitan benih yang bersesuaian dengan keadaan tanah dan persekitaran tempatan.
Menurutnya, antara usaha yang dirancang ialah pembangunan makmal di Kuala Baram serta kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi menjalankan penyelidikan berkaitan benih padi.
“Selepas kawasan dikenal pasti, kita bangunkan makmal di Kuala Baram dan kita bekerjasama dengan universiti untuk berkolaborasi dengan saintis bagi mengenal pasti benih-benih padi.
“Benih itu kita tanam di tempat yang dikenal pasti dan kalau sesuai, kita tahu semua DNA-nya sebelum kita luaskan kepada kawasan lain,” katanya.
Mohamad berkata keutamaan pembangunan sektor padi adalah memastikan hasil tanaman dapat memenuhi keperluan pasaran domestik terlebih dahulu sebelum lebihan pengeluaran dipasarkan ke luar.
Katanya, sekiranya pengeluaran dapat ditingkatkan melalui pembangunan kawasan penanaman berskala besar, Sarawak berpotensi menghasilkan lebihan beras untuk pasaran luar.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan serta penggunaan teknologi moden bagi mengubah sektor pertanian kepada industri yang lebih produktif dan berdaya saing.
“Padi dan nanas ini kita kena lebih kuat kerana masih lagi diusahakan secara kecilan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata aspek keterjaminan makanan perlu terus diberi perhatian terutama dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca termasuk fenomena El Nino yang boleh menjejaskan pengeluaran pertanian.
Katanya, usaha memperkukuh pengeluaran makanan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi tanpa mengira negeri atau kawasan pengeluaran.
“Kalau Sarawak buat cukup untuk Sarawak, ertinya ia sudah membantu SSL negara,” katanya.
Oleh Faizah Muzidi





