SIBU: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbangkan pemberian subsidi upah bersasar dan insentif cukai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekiranya langkah lebih kukuh untuk meningkatkan gaji pekerja diperkenalkan menerusi Belanjawan 2027.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, bantuan berkenaan penting bagi membantu PKS menyerap peningkatan kos operasi, terutama apabila perbelanjaan tenaga kerja menjadi antara komponen utama kos perniagaan.
Menurutnya, sebarang langkah berkaitan kenaikan gaji juga perlu mengambil kira keupayaan kewangan PKS dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada sektor perniagaan membuat persediaan serta pelarasan.
“Sekiranya kerajaan mewajibkan PKS meningkatkan gaji pekerja, subsidi upah boleh disediakan bagi membantu mengurangkan beban kewangan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain subsidi upah, Lau berkata kerajaan boleh mempertimbangkan pelepasan atau insentif cukai bagi mengurangkan kesan pelaksanaan dasar berkenaan, khususnya ketika perniagaan berdepan peningkatan harga barangan, kos bahan api dan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.
Beliau berkata kepentingan sokongan tersebut turut mengambil kira peranan besar PKS dalam ekonomi negara, dengan data terkini SME Corp. Malaysia menunjukkan PKS merangkumi 96.2 peratus daripada keseluruhan pertubuhan di Malaysia pada 2025, melibatkan 1.29 juta firma.
Dalam pada itu, Lau berkata sekiranya langkah meningkatkan gaji turut melibatkan pelarasan gaji minimum, PKS berkemungkinan berdepan tekanan tambahan dan memerlukan tempoh peralihan serta sokongan bersesuaian daripada kerajaan.
Justeru, katanya, penilaian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang dasar baharu berkaitan gaji diperkenalkan bagi memastikan peningkatan pendapatan pekerja dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan operasi PKS serta keupayaan mereka menyediakan peluang pekerjaan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak berpuas hati dengan struktur gaji semasa, termasuk keadaan sesetengah syarikat yang mencatat keuntungan dan peningkatan produktiviti tetapi masih membayar gaji yang relatif rendah kepada pekerja.
Beliau berkata langkah lebih kukuh untuk meningkatkan gaji akan diumumkan menerusi Belanjawan 2027, termasuk usaha memastikan graduan memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan serta menerima gaji yang adil.





