Tun Dr Siti Hasmah dikebumikan di Pusara Negara

Facebook
WhatsApp
SUASANA di kediaman Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di The Mines, Seri Kembangan, Selangor. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir hari ini akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, di sini.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, Selangor, pada 1.30 tengah hari bagi pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir.

“Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Asar di Masjid As-Syarif dan seterusnya dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.

“Kerajaan telah memutuskan supaya Allahyarham Dr Siti Hasmah diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara,” menurut kenyataan itu.

ALLAHYARHAM Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20. Foto Bernama

JPM memaklumkan pakaian bagi pelawat lelaki Islam ialah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak dan bersongkok hitam, manakala bagi bukan Islam ialah lounge suit berwarna gelap. Pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai.

“Pakaian bagi pelawat wanita Islam ialah baju kurung/kebaya labuh berwarna gelap dengan selendang/tudung putih, manakala bagi bukan Islam ialah pakaian sopan berwarna gelap dan berselendang putih. Pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai,” menurut kenyataan itu.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – Bernama