FRANKFURT, Jerman: Sebuah pesawat Lufthansa yang dalam penerbangan dari Frankfurt ke Lisbon dilencongkan ke Lyon, Perancis, selepas sebuah pengecas mudah alih (powerbank) milik penumpang terbakar dalam pesawat, menurut syarikat penerbangan itu kepada Agensi Berita Jerman (dpa) semalam.
Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di Lyon kira-kira 10.00 malam Sabtu waktu tempatan (2000 GMT), menurut syarikat penerbangan nasional Jerman itu.
Lufthansa memaklumkan bahawa kru penerbangan LH1170 sebelum itu telah memasukkan bank kuasa berkenaan ke dalam beg keselamatan khas untuk bateri litium.
Seramai 198 penumpang dan enam kru penerbangan ditempatkan di hotel untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Lisbon dengan penerbangan alternatif pada keesokan harinya.
Kejadian itu merupakan insiden kedua pada hujung minggu berkenaan yang membabitkan pesawat Lufthansa yang berlepas dari Frankfurt.
Dalam satu lagi insiden pada Sabtu, sebuah pesawat Lufthansa yang dalam penerbangan dari Frankfurt ke Toronto dan membawa 371 penumpang berpatah balik ketika berada di ruang udara Scotland sebelum mendarat di Manchester selepas bau dikesan di dalam kabin. – Bernama





