LAWAS: Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kemalangan kendiri di Jalan Lawas-Merapok, berhampiran Kampung Pengalih, di sini, kira-kira 6.52 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Liong Tindan, berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Lawas.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Bandar Lawas menuju ke Jalan Merapok.
“Apabila tiba di kawasan Kampung Pengalih, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa terjatuh dari motosikal sebelum bahagian muka dan kepalanya terhentak pada permukaan bahu jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Liong berkata, berdasarkan kesan kemalangan di lokasi kejadian, siasatan awal mendapati kemalangan itu tidak melibatkan mana-mana kenderaan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas di talian 085-285311.
Oleh Adeng Idris





