SPAOH: Pembukaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling menjadi satu kebanggaan kepada rakyat Sarawak, khususnya warga Bahagian Betong, selain membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kewujudan STOLport Bebuling mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan antara Betong dan Kuching.
Menurut beliau, kemudahan tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari aspek pergerakan penumpang, malah berpotensi mempercepatkan urusan penghantaran barangan tempatan ke kawasan di luar Betong.
Katanya, peningkatan kesalinghubungan udara juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi serta pasaran produk yang dihasilkan di kawasan Betong.
“STOLport Bebuling akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan kawasan Betong dengan Kuching, termasuk penghantaran barangan tempatan ke kawasan luar Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penerbangan percubaan kedua di STOLport Bebuling yang telah dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dekat sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Duri berkata, kemudahan berkenaan turut berpotensi menyokong pembangunan sektor pertanian, khususnya melalui pengukuhan rantaian bekalan makanan dari kawasan pengeluaran kepada pasaran yang lebih luas.
Pada masa yang sama, kewujudan STOLport Bebuling dijangka memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dengan memudahkan akses ke destinasi menarik yang terdapat di kawasan berdekatan.
Antara potensi yang boleh dikembangkan ialah kawasan Batang Ai Resort yang mempunyai daya tarikan tersendiri dan berpotensi menerima lebih ramai pengunjung menerusi jaringan pengangkutan udara yang lebih baik.
Beliau turut menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu pencapaian penting bagi Bahagian Betong, terutama dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan serta menyokong agenda pembangunan ekonomi wilayah.
STOLport Bebuling dilengkapi landasan sepanjang 1,190 meter, taxiway, apron, terminal, menara kawalan, helipad serta kemudahan Aircraft Fire and Rescue Services (AFRS) bagi menyokong keperluan operasi dan keselamatan penerbangan.
Penerbangan percubaan pertama di STOLport Bebuling telah berlangsung pada 18 September lalu dan disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Sementara itu, penerbangan percubaan kedua pula menjadi satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan kemudahan penerbangan tersebut untuk manfaat rakyat dan pembangunan Betong.
Oleh Adi Safarman




