LUNDU: Jambatan Rambungan yang menjadi laluan penting menghubungkan kawasan Tanjung Datu dengan Kuching disasarkan dapat disiapkan menjelang penghujung 2027, lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan, berkata beliau telah memohon supaya projek berkenaan dipercepatkan dan permintaan itu turut mendapat sokongan Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Katanya, usaha mempercepatkan projek itu penting kerana jambatan berkenaan bakal menjadi antara laluan utama yang menghubungkan kawasan Sampadi dan Tanjung Datu dengan Kuching serta kawasan penempatan lain.
“Setakat ini, kita telah meminta kontraktor bekerja keras untuk menyiapkannya lebih awal. Bagaimanapun, sekiranya kita mengikut jadual sebenar, mungkin pertengahan 2028.
“Tetapi saya telah memohon dan juga disokong oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Menteri Infrastruktur kita untuk kita mempercepatkan lagi dan cuba menyiapkannya menjelang 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penangguhan Regata Batang Kayan di Dewan Mahligai Gading, di sini, hari ini.
Menurut Azizul, beliau melihat perkembangan kerja di tapak ketika ini sebagai menggalakkan dan berharap projek itu dapat disiapkan lebih awal daripada sasaran.
“Penghujung 2027 adalah satu jangka masa yang cukup lewat. Tetapi kalau dapat siap pertengahan tahun, lebih bagus, dan lebih awal lagi bagus.
“Sebagai wakil rakyat yang dalam dua atau tiga hari akan melintasi jalan itu, saya lihat kemajuannya menggalakkan,” katanya.
Mengulas kepentingan jambatan berkenaan terhadap pembangunan Sampadi, Azizul berkata kewujudannya akan meningkatkan pergerakan dan hubungan antara kawasan berkenaan dengan Kuching menerusi dua pilihan laluan.
Katanya, pengguna boleh menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo untuk ke Kuching, manakala Jalan Rambungan-Sampadi pula menyediakan hubungan ke Matang, Damai dan kawasan penempatan lain.
“Dengan adanya Jambatan Rambungan ini, sememangnya ia akan menyemarakkan lagi pergerakan antara zon Sampadi dengan Kuching.
“Kita ada dua pilihan. Sekiranya hendak ke kawasan bandar atau Kuching, kita boleh menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo. Sekiranya hendak ke Matang, hendak sambung ke Damai dan kawasan penempatan lain, kita boleh menggunakan Jalan Rambungan-Sampadi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu memastikan kemudahan infrastruktur dan perancangan pembangunan di kawasan berkenaan tersedia seiring dengan siapnya jambatan itu.
Katanya, antara cadangan yang dikemukakan termasuk membangunkan sebuah marina atau tempat penyimpanan bot, kawasan komuniti serta pusat penjaja bagi memberi peluang kepada penduduk sekitar menjana pendapatan.
“Sedikit sebanyak ia dapat menghidupkan kawasan tersebut, termasuk pusat penjaja. Sebelum ini, kita lihat seperti di Samarahan, ada pusat penjaja sebelum feri Semarahan.
“Apabila Jambatan Batang Samarahan siap, pusat penjaja Jambatan Samarahan pula disediakan. Jadi saya mahu perkara yang sama diwujudkan di kawasan Rambungan bagi membantu masyarakat kampung di sekitarnya menjana ekonomi,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat




