SARATOK: Hujan lebat pada petang ini mengakibatkan tanah susur kira-kira tujuh meter berlaku di bahu jalan utama penduduk di Tembawai Kapok, di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 3.25 petang yang memaklumkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, susulan panggilan itu, tiga anggota APM Saratok digerakkan ke lokasi pada 3.38 petang bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
“Anggota tiba di lokasi pada 3.58 petang selepas menempuh perjalanan kira-kira 20 kilometer sehala dari pangkalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati berlaku tanah susur di bahagian bahu jalan utama penduduk dengan tanah runtuh dianggarkan sepanjang tujuh meter ke bahagian bawah jalan.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak menyebabkan laluan berkenaan terputus dan jalan masih boleh dilalui oleh kenderaan
APM Saratok turut memaklumkan keadaan tanah di lokasi masih menunjukkan pergerakan, sekali gus memerlukan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.

Sebagai langkah keselamatan, anggota APM memasang pita keselamatan di sekitar lokasi bagi menandakan kawasan berisiko serta memberi amaran kepada pengguna jalan raya.
Operasi pemantauan itu melibatkan tiga anggota, iaitu Prebet Jeffery Kedit Kayan, Prebet Salvia Morshidi dan Prebet Ahmad Akmal Faizal.
Operasi selesai pada 4.20 petang dengan anggota menggunakan sebuah kenderaan persendirian serta dilengkapi peralatan keselamatan termasuk topi keledar, sarung tangan, pita amaran dan parang.
Oleh Adi Safarman




