Aichi-Nagoya 2026: Eain Yow pertahan emas, sumbang pingat kelima negara

Facebook
WhatsApp
NG Eain Yow mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki selepas menewaskan Abhay Singh dari India pada perlawanan akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Foto World Squash Federation

NAGOYA: Jaguh skuasy negara Ng Eain Yow mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki selepas menewaskan wakil India Abhay Singh 11-9, 11-5, 11-5 pada perlawanan akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya Kinjofuto Arena hari ini.

Eain Yow, 28, yang juga juara pada edisi Hangzhou 2022, menampilkan aksi bertenaga dan tenang untuk sekali lagi menundukkan Abhay, sekali gus mengulangi pencapaian emas yang diraihnya empat tahun lepas.

Kejayaan itu turut menyaksikan pemain kelahiran Kuala Lumpur berkenaan mengesahkan tiket awal ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pingat emas berkenaan adalah yang kelima buat Malaysia pada Aichi-Nagoya 2026 selepas dua emas menerusi karate serta masing-masing satu daripada e-sukan dan sepak takraw.

Eain Yow sebelum ini memiliki rekod sempurna menentang Abhay selepas memenangi kesemua empat pertemuan terdahulu antara kedua-dua pemain, yang kali terakhir berlangsung pada Piala Skuasy Malaysia 2024.- Bernama