KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjalin kerjasama strategik dengan YTL Corporation Berhad yang diberi mandat sebagai Penaja Utama siaran Piala ASEAN FIFA 2026 dalam usaha membawakan aksi sukan berprestij secara langsung kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi kerjasama strategik itu, RTM selaku Penyiar Rasmi akan menyiarkan lima perlawanan terpilih kejohanan itu termasuk tiga aksi peringkat Kumpulan A melibatkan pasukan Malaysia serta perlawanan penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir.
Siaran langsung perlawanan tersebut boleh disaksikan menerusi saluran Sukan RTM, Sukan+ RTM, serta penstriman dalam talian menerusi aplikasi RTMKlik.
Menurut kenyataan itu, perlawanan aksi Malaysia yang kini menduduki ranking ke-136 dunia menentang Bangladesh (181) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia Jumaat lepas telah disiarkan secara langsung.
Ia disusuli dengan aksi Indonesia menentang Malaysia pada 8.30 malam waktu Malaysia pada 28 September, perlawanan Malaysia menentang Singapura pada 1 Okt pada 8.30 malam, serta Penentuan Tempat Ketiga kumpulan dan perlawanan akhir pada 5 Oktober, masing-masing pada 5.00 petang dan 9.00 malam.
“Sokongan YTL sebagai Penaja Utama mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong pembangunan dan penyiaran sukan, di samping memperluas akses rakyat kepada kandungan sukan berkualiti.
“Kerjasama ini juga sejajar dengan peranan RTM sebagai penyiar utama negara yang sentiasa berusaha menyediakan kandungan bermutu, relevan dan boleh dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
“Penyiaran kejohanan ini diharap dapat menyemarakkan semangat penyokong serta memberi sokongan padu kepada pasukan Malaysia sepanjang saingan berlangsung,” menurut kenyataan itu. – Bernama





