505 projek BDDA pacu pembangunan Betong – Uggah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemu bual Khas Bersama TVS dalam Program Sarawak Ku Sayang di Kompleks Sukan Betong, dekat sini semalam. Foto: Douglas Uggah Embas Official

BETONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) terus memperkukuh landskap pembangunan sosioekonomi di Bahagian Betong menerusi pelaksanaan 505 projek yang melibatkan pelbagai sektor strategik demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada jumlah tersebut, 245 projek tertumpu kepada sektor agro-makanan, diikuti 138 projek infrastruktur, 55 projek hal ehwal sosial dan wanita, 30 projek perniagaan, perindustrian dan keusahawanan, 25 projek utiliti dan telekomunikasi serta 12 projek pelancongan dan alam sekitar.

Menurut beliau, projek yang dilaksanakan merangkumi naik taraf jalan ladang dan jambatan kampung, pembinaan sistem kawalan pasang surut, penambahbaikan tebing sungai, Pusat Hemodialisis Spaoh, naik taraf Indoor Stadium Betong serta pembinaan Pusat Pembangunan Wanita dan Ibu Kampung Triso.

“Kesemua projek ini dirancang untuk memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat selain membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk di Bahagian Betong,” katanya ketika ditemu bual Khas Bersama TVS dalam Program Sarawak Ku Sayang di Kompleks Sukan Betong, dekat sini semalam.

Dalam sektor agro-makanan, BDDA turut memperkukuh pengeluaran makanan menerusi bantuan kepada pengusaha penternakan ayam, khinzir, sarang burung serta projek fertigasi halia. Pada masa sama, pembangunan keusahawanan diperkasa melalui pembinaan Anjung Usahawan Debak dan naik taraf jeti nelayan Kampung Hulu Laut, Kabong.

Uggah berkata, potensi pelancongan Betong juga semakin menyerlah dengan pembangunan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok bernilai RM16 juta yang dijangka menjadi mercu tanda baharu pelancongan negeri.

Katanya, projek berkenaan bukan sahaja mengangkat sejarah perjuangan pahlawan Rentap, malah mampu merangsang industri hiliran seperti homestay, kraftangan tradisional termasuk Baju Dabung, Kain Kebat, tenunan Pua Kumbu dan Parang Ilang serta perusahaan makanan tempatan.

Selain itu, kewujudan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling dan Bebuling Agro Park dijangka memperkukuh jaringan pengangkutan, membuka pasaran baharu kepada produk pertanian serta meningkatkan akses ke destinasi eko-pelancongan di kawasan tersebut.

Dalam aspek pembangunan modal insan, kerajaan negeri turut merancang pembinaan kampus tetap Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) Betong yang bakal menyediakan latihan teknikal dan kemahiran dalam bidang berpotensi tinggi seperti penerbangan, minyak dan gas, teknologi pertanian moden serta aplikasi digital.

Penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Spaoh pula dilihat sebagai langkah strategik menyediakan pendidikan bertaraf global menerusi Kurikulum Cambridge IGCSE, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda Betong.

BDDA merupakan antara badan pembangunan wilayah utama di Sarawak yang diberi mandat mempercepat pembangunan sosioekonomi di lapan kawasan DUN iaitu Lingga, Beting Maro, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian dan Kabong serta dua kawasan Parlimen, Batang Lupar dan Betong.

“505 projek bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi agenda transformasi menyeluruh yang membentuk masa depan Bahagian Betong sebagai hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan yang semakin berkembang,” katanya.

Oleh Adi Safarman

Uggah ajak rakyat Betong meriahkan SKS 2026

BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengajak masyarakat di Bahagian Betong dan kawasan sekitar hadir beramai-ramai memeriahkan