SERIAN: Seorang lelaki cedera selepas lori 10 tan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori treler berhampiran Masjid Kampung Balai Ringin, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 6.05 pagi itu, mangsa dilaporkan masih tersepit di bahagian tempat duduk pemandu ketika pasukan bomba tiba di lokasi pada 6.37 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang merupakan lelaki dewasa itu berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan akibat tersepit pada bahagian kaki.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dan pengusung sebelum berjaya mengeluarkannya dengan selamat.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu lori treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Katanya, operasi turut melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dengan bantuan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.
Pasukan turut menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan membersihkan sisa kemalangan yang terdapat di atas jalan sebelum operasi ditamatkan pada 7.08 pagi.





