Sarawak mahu formula satu pertiga diperincikan sebelum tentukan jumlah kerusi Parlimen

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri ketika ditemui media pada program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian serta Pameran Akedamik UiTM Cawangan Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako, hari ini.

BAKO: Sarawak mahu formula nisbah satu pertiga bagi perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat diperincikan terlebih dahulu sebelum sebarang jumlah penambahan kerusi Parlimen ditentukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan secara menyeluruh termasuk dari sudut perundangan, khususnya berkaitan kedudukan satu pertiga yang wujud ketika pembentukan Malaysia.

Menurutnya, selepas Singapura keluar daripada Malaysia, kedudukan satu pertiga berkenaan berubah dan perkara itu perlu diteliti semula bagi menentukan bagaimana formula tersebut boleh diwujudkan.

“Satu pertiga itu bagaimana formula satu pertiga itu diwujudkan perlu dibincangkan bersama dari segi perundangannya.

“Jadi sebab itu, itu memang tidak kita sentuh dahulu. Apabila sudah disentuh oleh pihak MA63, akan kita dengar dulu apa yang menjadi komitmen,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri satu program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian serta Pameran Akedamik UiTM Cawangan Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako, di sini, hari ini.

Nancy berkata, walaupun Sarawak sebelum ini sudah menyuarakan isu berkaitan peningkatan kerusi Parlimen, tumpuan ketika ini lebih diberikan kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, perbincangan mengenai kerusi Parlimen perlu mengambil kira formula nisbah dan bukan sekadar menentukan jumlah kerusi yang perlu ditambah.

“Premier dan juga Ketua Menteri Sabah bersama dengan Perdana Menteri, mereka perlu menyusun atur dari segi yang dikatakan nisbah, bukannya berapa.

“Jadi nisbah itu bagaimana formula nisbah itu diwujudkan nanti,” katanya.

Beliau turut mengesahkan isu peningkatan kerusi Parlimen telah disuarakan oleh wakil Sarawak dalam Kabinet, termasuk dirinya dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, perkara berkenaan bagaimanapun masih memerlukan perbincangan lanjut antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, namun mekanisme dan jumlah kerusi masih perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan negeri serta pihak berkaitan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Opmg sebelum ini turut menegaskan bahawa sekiranya jumlah kerusi Parlimen ditambah, Sabah dan Sarawak perlu memperoleh satu pertiga daripada keseluruhan kerusi baharu.

Perkembangan itu susulan penafian SPR semalam terhadap laporan yang mendakwa Sarawak bakal menerima tambahan 15 kerusi Parlimen, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi negeri itu daripada 31 kepada 46.

SPR menegaskan ketika ini tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak dan kajian semula persempadanan yang sedang dijalankan hanya melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat

1,062 peserta DUN Daro terima lesen B2

DARO: Seramai 1,062 peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN N.43 Daro berjaya memperoleh lesen masing-masing