Gempa bumi lemah berlaku di Kinabatangan pagi tadi

Facebook
WhatsApp
gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan pagi tadi. Foto Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia.

KINABATANGAN: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut di sini pada 5:32 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan pusat gempa bumi berkenaan berada di koordinat 5.1 darjah utara dan 116.8 darjah timur dengan kedalaman 118 kilometer, iaitu 223 kilometer barat laut dari Tarakan, Indonesia dan 32 kilometer barat daya dari Tongod, Sabah.

Namun menurut MetMalaysia tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Suriyadi Drawis berkata pada 6.26 pagi  sepasukan enam anggota bomba menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar Kinabatangan, susulan laporan gempa bumi lemah berpusat di Kuamut di sini.

Beliau berkata rondaan itu melibatkan pemeriksaan di Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam, Bukit Garam Point termasuk kawasan yang dikenal pasti berisiko.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kejadian runtuhan berlaku atau kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan.

Suriyadi berkata pasukan bertugas turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk setempat agar berwaspada dengan kemungkinan berlaku gempa susulan. – Bernama