KUCHING: Kepelbagaian dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum serta agama menjadi antara kekuatan utama Sarawak dalam membina negeri yang aman, stabil dan bersatu, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kemajuan Sarawak bukan hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur moden dan kemajuan teknologi, tetapi turut bergantung kepada kekuatan rakyat, ketahanan komuniti serta nilai bersama yang menyatukan masyarakat.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, pada Sambutan Naw-ruz Negeri dan Ulang Tahun Ke-75 Komuniti Baha’i di Sarawak, di sini, malam ini.
“Pembangunan hanya bermakna apabila ia meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuh keluarga, membina komuniti yang prihatin dan mewujudkan peluang untuk setiap individu menyumbang kepada kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata keharmonian di Sarawak tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dipupuk sejak beberapa generasi menerusi semangat muhibah, toleransi serta kesediaan untuk menghargai kepercayaan dan tradisi antara satu sama lain.
Katanya, kerajaan Sarawak turut mewujudkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebagai manifestasi komitmen dalam memupuk persefahaman, rasa hormat dan kerjasama antara masyarakat berbeza agama serta latar belakang.
“Kesatuan bukan bermaksud keseragaman, sebaliknya kesatuan dalam kepelbagaian. Kepelbagaian kita adalah antara kekuatan terbesar Sarawak,” katanya.
Menurutnya, masyarakat Sarawak terdiri daripada pelbagai latar etnik, agama, bahasa dan tradisi, namun terus disatukan oleh identiti sebagai rakyat Sarawak, sikap saling menghormati serta aspirasi bersama untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Dalam pada itu, beliau berkata setiap komuniti agama mempunyai peranan penting dalam membentuk masyarakat yang prihatin, berdaya tahan dan bersatu.
Beliau turut menggesa kerajaan, masyarakat sivil, pertubuhan agama dan rakyat untuk terus bekerjasama dalam merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi membina masyarakat yang inklusif, selain memberi peluang kepada setiap komuniti untuk berkembang serta menyumbang kepada masa depan Sarawak.
Mengulas sambutan berkenaan, Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada Komuniti Bahá’í Sarawak sempena ulang tahun ke-75 serta berharap komitmen komuniti berkenaan dalam memupuk perpaduan, persahabatan, persefahaman dan keharmonian dapat diteruskan.
Sambutan tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, beserta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Oleh Afiq Sallehi




