PUTRAJAYA: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2026 (DPT BLN8/2026) boleh dibuat bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 24 Oktober, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus.
Beliau berkata DPT BLN8/2026 yang diwartakan hari ini mengandungi 43,309 nama warganegara berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2026 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu, DPT tersebut mengandungi 34,411 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,728 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status.
Khairul Shahril berkata pemilih yang tergolong dalam kategori berkenaan diseru untuk menyemak nama mereka.
“Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian menerusi pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semakan boleh dibuat menerusi pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat pilihan raya negeri http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih 03-8892 7218.
Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D melalui saluran berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri menerusi http://ppn.spr.gov.my dan dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk serahan dan pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT itu. – Bernama





