Sabah laksanakan kedaulatan penuh ke atas projek karbon, hasil negeri – Arthur

Facebook
WhatsApp
MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup. Foto Fail Bernama

KOTA KINABALU: Sabah akan melaksanakan kedaulatan penuhnya ke atas pembangunan projek-projek karbon serta kutipan hasil negeri itu, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan berperanan dalam menyediakan perlindungan diperlukan di bawah Perjanjian Paris.

“Di bawah Teras 4 Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan menerusi Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan, kita komited untuk mengharmonikan sistem yang ada.

“Usaha menyelaraskan dasar negeri dan Persekutuan adalah penting bagi memastikan kelancaran proses dalam memberikan kebenaran untuk pihak tuan rumah antarabangsa di bawah Perkara 6 serta mengenakan Pelarasan Sepadan di mana yang perlu,” katanya pada Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon bagi Sabah di sini hari ini.

Arthur berkata pengharmonian atau penyelarasan usaha Persekutuan dan Sabah juga akan memastikan setiap penjanaan kredit karbon di negeri itu, sama ada daripada hutan dipterokarpa (spesies pokok besar) yang menjulang tinggi, ekosistem karbon biru pesisir pantai yang kaya atau komoditi pertanian, mempunyai integriti alam sekitar yang tidak boleh dipertikaikan, dapat meraih harga premium global serta memastikan manfaat ekonomi kekal secara langsung di negeri terbabit.

Beliau turut menekankan walaupun Malaysia telah membuat ketetapan ke arah sifar bersih, namun dasar semata-mata tidak memadai untuk membangunkan sesebuah pasaran.

Menurutnya, walaupun kerajaan boleh bertindak meluluskan undang-undang serta menerbitkan garis panduan, namun pihak seperti agensi negeri, pemaju projek, institusi kewangan, pihak yang membuat pengesahan dan komuniti tempatan yang sebenarnya berperanan menghidupkan pasaran itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata NRES kini di peringkat akhir memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara bagi menyediakan ketelusan mutlak, kebolehramalan dan penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata RUU itu akan turut menjadi asas perundangan bagi struktur harga karbon Malaysia serta memberikan mandat berkanun untuk mengoperasi dan menguatkuasakan Pendaftaran Karbon Kebangsaan sebagai rekod berwibawa bagi usaha penjejakan pelepasan gas rumah kaca dan interaksi dengan cukai karbon akan datang.

RUU itu juga secara rasmi mengawal penyertaan Malaysia dalam perdagangan karbon antarabangsa di bawah Perkara 6 Perjanjian Paris yang dilengkapkan dengan pelindungan kukuh terhadap pengiraan dua kali.

Arthur juga menjelaskan aspek seperti tanah, hutan, dan sumber asli adalah di bawah bidang kuasa negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, peranan Putrajaya di bawah Jawatankuasa Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan juga bukan bagi tujuan pemusatan kawalan, mengenakan arahan dari peringkat atasan ke bawah atau melanggar hak yang ditetapkan dalam Perlembagaan Negeri.

Sebaliknya, kata beliau, tanggung jawab Kerajaan Persekutuan adalah untuk berkhidmat sebagai pengupaya institusi serta penghubung kepada pasaran negara dan global.

Menyentuh forum itu, Arthur menyifatkan penganjurannya sebagai tepat ketika Malaysia kini memasuki fasa penting dalam mengubah potensi semula jadi dan teknologi sebagai bekalan dipercayai, membuka permintaan pasaran yang kukuh dan mewujudkan infrastruktur dengan daya maju dari segi pembiayaan untuk melaksanakan transaksi karbon yang diyakini.

Beliau juga berharap forum itu dapat menghasilkan langkah susulan jelas dan praktikal, mencetuskan projek berwibawa dan bersedia untuk dibangunkan secara bertanggungjawab, pembiayaan yang boleh digerakkan serta mengenal pasti bidang yang memerlukan penyelarasan sistem antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dengan lebih baik.

Lebih 100 peserta menyertai forum anjuran Kerajaan Negeri Sabah dan dikendalikan oleh Bursa Carbon Exchange serta Persatuan Pasaran Karbon Malaysia.- Bernama

Abang PM Anwar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi khabar duka mengenai pemergian abang kandungnya Idrus Ibrahim. Menerusi