Ops Luxury: JPJ sita dua kenderaan mewah di Kuching

Facebook
WhatsApp
KENDERAAN mewah jenis Mercedes-Benz disita JPJ Sarawak dalam Ops Luxury di sekitar bandar Kuching.

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita dua kenderaan mewah dalam Ops Luxury yang dijalankan menerusi rondaan dan pemantauan di sekitar bandar raya ini, semalam.

JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Unit Operasi JPJ Kuching bagi mengesan kesalahan berkaitan pematuhan peraturan jalan raya.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan melakukan kesalahan membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh.

Susulan itu, kedua-dua kenderaan terbabit disita mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

KENDERAAN mewah jenis Mercedes-Benz disita selepas didapati melakukan kesalahan membabitkan LKM dan perlindungan insurans yang tamat tempoh.

JPJ Sarawak menasihatkan semua pemilik dan pengguna kenderaan supaya memastikan LKM serta perlindungan insurans sentiasa sah dan berkuat kuasa sebelum kenderaan digunakan di jalan raya.

Menurut JPJ Sarawak, pematuhan terhadap peraturan bukan sahaja menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan, malah penting bagi memastikan keselamatan dan perlindungan semua pengguna jalan raya.

JPJ Sarawak turut menegaskan bahawa rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.

Oleh Afiq Sallehi