GERAN khas interim bagi Sarawak yang dinaikkan sebanyak RM900 juta atau 150 peratus kepada RM1.5 bilion setahun mulai tahun ini, sebenarnya bagaikan satu bonus.
Tetapi hakikatnya, kerajaan Sarawak mahu Kerajaan Persekutuan berkongsi hasil negara antara lima hingga 10 peratus.
Contohnya, jika hasil tahunan negara adalah RM300 bilion, maka 10 peratus adalah bersamaan RM30 bilion. Bayaran interim RM1.5 bilion itu cuma 0.5 peratus daripada RM300 bilion. Jika lima peratus menjadi aras perkongsian, maka Sarawak akan mendapat RM15 bilion.
Bayangkan? Andai Sarawak dapat, ia mampu membiayai banyak lagi jambatan pendek dan sederhana panjang dibina merentasi sungai di kebanyakan kampung dan rumah panjang selain akses jalan raya di pedalaman.
Kementerian Kewangan sebelum ini menganggarkan hasil Kerajaan Persekutuan 2026 sebanyak RM343.1 bilion.
Oleh itu, pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai geran khas interim bagi Sarawak yang dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini, sebenarnya masih berbentuk sementara.
Belum ada jumlah geran khas atau pemberian khas tahunan dipersetujui, berdasarkan kehendak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Tidak pasti untuk berapa lama bayaran interim ini akan berkuatkuasa. Ada laporan sebelum ini menyebut tempohnya lima tahun.
Oleh itu, pemberian interim RM1.5 bilion itu yang diumumkan Perdana Menteri pada malam sambutan Hari Malaysia 16 September lalu di Kuching, boleh dianggap sebagai bonus.

Jumlahnya sama seperti Sabah tetapi kes Negeri Bawah Bayu berbeza, dan ia juga tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad tuntutan negeri itu terhadap 40 peratus hasil bersihnya.
Pada 17 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Sebenarnya, apa yang diminta oleh kerajaan Sarawak sebagai formula untuk geran khas tahunan itu (kini masih berbentuk interim) adalah ‘share’ (kongsi) pendapatan negara antara lima hingga 10 peratus.
Formula
Formula dikemukakan Sarawak adalah berdasarkan prinsip mudah iaitu ‘when there is more, share more; when it is lower, share less.’ (Jika hasil lebih banyak, kongsi lebih banyak; jika hasil lebih rendah, kongsi kurang sedikit).
Perkara ini kerap diungkapkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapan umumnya.
Terbaru ketika berucap pada konvensyen khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Miri pada 13 September lepas, apabila beliau menyentuh perkongsian hasil Kerajaan Persekutuan antara lima hingga 10 peratus.
“Jika hasil negara meningkat, ia sepatutnya dikongsi dengan Sarawak melalui suatu formula. Apabila ada lebih, kongsi lebih banyak. Apabila lebih rendah, kongsi lebih sedikit.
“Sarawak sangat fleksibel. Sarawak sangat rasional,” katanya dan memberitahu perbincangan lanjut akan diadakan antara Kementerian Kewangan negeri dan Persekutuan.
Fakta inilah yang dimaksudkan ‘share’, kongsi pendapatan negara untuk formula bagi geran khas jangka panjang itu nanti.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan sendiri menyatakan rundingan dengan Sabah dan Sarawak masih diteruskan untuk memuktamadkan formula yang mampan bagi menentukan kadar geran khas tahunan.
Kita tidak boleh terus mengatakan Sarawak ‘sepatutnya’ menerima RM30-RM40 bilion, kerana formula Sarawak itu sendiri masih perlu dipersetujui secara rasmi — termasuk definisi hasil Persekutuan, asas pengiraan dan mekanisme bayaran.
Formula yang dicadangkan itu bukan perkara baharu, dengan Sarawak sudah mendedahkan seawal 2022 bahawa negeri ini telah mengemukakan formula kepada Kerajaan Persekutuan bagi semakan pemberian khas berkenaan.
Pada Februari tahun ini, Abang Johari menggariskan mekanisme berasaskan hasil yang dicadangkan, iaitu 20 peratus daripada hasil yang dijana Sarawak boleh dikembalikan kepada negeri ini.
Di bawah cadangan berkenaan, jumlah tersebut akan berubah mengikut prestasi hasil Sarawak dan bukannya berdasarkan jumlah tetap.
Antara formulanya ialah duti setem yang dipungut Kerajaan Pusat tetapi hasilnya daripada transaksi yang berasaskan tanah di Sarawak, perlu dipulangkan kepada Sarawak. Punggutan seperti inilah yang dimahukan oleh Sarawak.
Hasil ke kantung Putrajaya
Duti setem ini dibayar kepada Kerajaan Persekutuan melalui kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti dikehendaki di bawah Akta Setem 1949. Bayangkan, bayaran duti setem bagi perjanjian jual beli tanah termasuk pindah hak milik di Sarawak sekarang dikatakan agak mahal, semuanya disalurkan kepada Putrajaya.
Mungkin semua hasil itu dirumuskan dalam formula Sarawak yang mahu kongsi hasil antara lima hingga 10 peratus.
Sejarah
Berdasarkan MA63 yang ditandatangani 63 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah atas nama ‘pemberian khas’.
Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali.
Bayaran pertama dibuat pada 1965 sebanyak RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta, dan RM26.7 juta untuk Sabah.
Namun, selepas itu bayaran ini dihentikan. Tiada alasan diberi, sekurang-kurangnya secara rasmi, terus senyap dan sepi.
Dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ pada 16 September 2023 iaitu kira-kira empat bulan sebelum pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri buat kali pertama mendedahkan isu ini dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana pemimpin Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Pada program itulah Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mendedahkan Sarawak dan Sabah banyak tahun tidak diberi pemberian khas tahunan meskipun sudah termaktub dalam MA63.
“Pada 1965, Sarawak diberi RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta tetapi selepas itu dihentikan,” katanya pada program yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia 2023.
Sambungnya lagi: “Jumlah itu mungkin mencecah berbilion-bilion sekarang. Kami (Sarawak) telah kehilangan berbilion-bilion sejak 1969.
“Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali,” katanya.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila pada awal 2023, Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah bagi memenuhi desakan kedua-dua negeri sejajar dengan tuntutan di bawah MA63.
Jumlahnya dinaikkan pula kepada RM600 juta mulai 2025, berbanding RM300 juta sejak November 2023. Terbaru dinaikkan kepada RM1.5 bilion masing-masing untuk Sabah dan Sarawak mulai tahun ini.
Namun, ia masih berbentuk sementara atau interim kerana Putrajaya berjanji untuk memberi agihan tetap tahunan.
Perlukah bayaran pampasan?
Di sini timbul persoalan, apakah Sarawak perlu tuntut pampasan atau bayaran balik daripada Kerajaan Persekutuan pada tempoh banyak tahun tidak berbayar bayaran khas itu?
Andai Putrajaya bersetuju untuk berkongsi hasil negara antara lima hingga 10 peratus untuk Sarawak, ia sudah memadai. Namun, jika ia terus memberi ‘bonus’ interim RM1.5 bilion, rasanya wajar pampasan itu dipertimbangkan.
Ikan terubok, ikan jenahak
Masakan pedas makan beramai
Jangan dipolitikkan isu hak
Gara mengharap sokongan ramai
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak





