MESKIPUN Kuching City FC berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 pada perlawanan bertemu Kelantan FC pada aksi tertangguh Liga Premier petang kelmarin, ia masih belum mampu membuatkan Irfan Bakti Abu Salim gembira dengan perkembangan tersebut.
Tiga jaringan yang terhasil pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu telah disumbangkan oleh Mohamad Aliff Hassan, Jospeh Kalang Tie dan pemain import baharu mereka dari Nigeria, Michael Chukwubunna Ijezie.
Susulan dengan aksi ditampilkan anak buahnya pada aksi bertemu Kelantan FC, Irfan Bakti melihat daripada segenap aspek perlu diperbaiki barisan pemain Kuching City FC bagi menghadapi baki sembilan perlawanan kempen liga musim ini.
Katanya biarpun menang 3-1, namun ia menyifatkan persembahan pemainnya tidak mencapai kemampuan yang sebenar.
Malah, Irfan mendedahkan pasukanya hanya berlatih selama dua minggu sebelum perlawanan ini, dan beliau memberi pujian kepada pemain atas kemampuan mereka menyesuaikan diri dengan situasi latihan yang ‘kurang sempurna’.
“Menang 3-1 ke atas Kelantan FC tidak boleh dinilai daripada segi pencapaian terbaik kerana perlawanan ini adalah perlawanan pertama kami.
“Jika dilihat pada prestasi keseluruhan, saya tidak begitu gembira walaupun jentera serangan berjaya menghasilkan gol.
“Masih banyak yang perlu dipertingkatkan lagi bukan sahaja di bahagian serangan, malah posisi tengah dan pertahanan juga perlu lebih kemas,” ujarnya semasa ditanya pemberita selepas perlawanan tersebut.
Beliau turut mendedahkan pasukannya tidak ada mengadakan sebarang perlawanan kompetitif sepanjang Liga Malaysia tergendala dan hanya dapat membuat latihan perlawanan persahabatan bersama pasukan Piala Presiden Kuching City dan Sarawak United sebagai ‘team sparring’ sebelum perlawanan menentang Kelantan FC petang kelmarin.
“Ini perlawanan pertama kami secara kompetitif selepas perlawanan ditunda selama empat bulan jadi saya nampak pemain pemain saya kurang memberangsangkan tetapi saya gembira pemain berjaya mengadaptasikan diri dengan situasi.
“Kami hanya berlatih sahaja. Berlatih pun selepas kerajaan negeri beri pelepasan. Kami baharu berlatih dua minggu dan kami hanya bermain dengan pemain Piala Presiden kami sendiri dan pemain Piala Presiden Sarawak. Itu saja sebelum perlawanan pertama kamilah,” ujar Irfan.
Sungguhpun tidak merasakan pemainnya bermain mengikut keupayaan sebenar, Irfan tetap bangga dengan pemainnya yang menunjukkan kesungguhan sambil menyatakan bahawa beliau gembira dengan tiga mata yang diperolehi.
“Kami menunjukkan permainan yang bersungguh sungguh, tetapi ianya bukanlah permainan yang baik sangat. Walau macam manapun saya puas hati dengan tiga mata,” katanya lagi.
Perlawanan seterusnya, Kuching City FC akan menanti kunjungan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada 25 Ogos (Rabu) ini di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Oleh ADI SAFARMAN