PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim berharap pemilihan gelanggang ‘home’ di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di Johor akan membawa ‘tuah’ kepada pasukan bimbingannya itu selepas ini.
Ia kerana skuad The Cats itu perlu menghabiskan 10 baki perlawanan Liga Premier dan kesemua aksi itu akan diadakan di Pasir Gudang sebagai venue tuan rumah.
“Saya harap Stadium Pasir Gudang akan membawa tuah sebagai venue ‘home’ kami.
“Semua aksi bermain home. Home kami di sinilah, Pasir Gudang. Kami akan main di sini sehingga Piala Malaysia, jadi dua bulan lebih.
“Saya yakin yang kami boleh ‘come back’ walaupun dua puluh perlawanan ni kami main di luar. Sekarang ni saya bagitahu budak anggaplah Pasir Gudang ni home ground,” kata Irfan apabila mengulas berkenaan situasi pasukannya selepas perlawanan menentang Kelantan FC petang kelmarin.
Irfan turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang telah bersetuju meminjamkan Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk dijadikan gelanggang ‘home’ bagi kelab tersebut.
“Terima kasihlah kepada TMJ kerana memberi kami bermain di sini kerana kami cari stadium di Kuala Lumpur tak boleh, di Selangor tak boleh, di Negeri Sembilan tak boleh, dan bila dihubungi JDT, Alhamdulilah dapat,” jelas Irfan lagi.
Penukaran venue tuan rumah Kuching City FC ke Pasir Gudang sebelum ini bukanlah sesuatu yang dijangka, dan mereka terpaksa berusaha mencari stadium lain yang boleh menerima kehadiran mereka untuk menghabiskan baki kesemua perlawanan Liga Premier yang akan bakal diharunginya.
Irfan menjelaskan pihak pengurusan kelabnya terpaksa berusaha mencari stadium untuk membolehkan pasukannya bermain di Semenanjung Malaysia selepas menyedari situasi kekangan perjalanan dan peraturan ekoran Prosedur Standard Operasi (SOP) Covid-19 Sarawak yang ketat dilihat bakal mengganggu perjalanan penjadualan perlawanan pasukan tersebut.
Terdahulu, dalam kenyataan rasmi Kuching City FC baru-baru ini berkata, bagi mengelak sebarang masalah dan berulangnya penundaan perlawanan, skuad itu terpaksa berhijrah ke semenanjung untuk meneruskan 10 baki aksi perlawanan Liga Premier mereka selepas ini.
Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di Johor dipilih sebagai ‘rumah’ baharu Kuching City FC untuk mengharungi baki saingan Liga Premier musim ini.
Pemilihan itu dibuat selepas mengambil kira prosedur kemasukan ke Sarawak yang ketat, seperti ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC).
“Ianya membantu mengurangkan kos perjalanan dan logistik perlawanan dari semenanjung serta mengurangkan risiko penundaan perlawanan akibat penerbangan yang amat terhad,” kata kenyataan itu.
Ini bermakna, kesemua 10 baki perlawanan Kuching City FC ini akan dilangsungkan di Johor pada jam 4.45 petang.
Walaupun tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Negeri Petra Jaya di Kuching, ia tidak akan beri kesan besar memandangkan belum ada sebarang kebenaran untuk penyokong ke stadium.
Oleh ADI SAFARMAN