TAHANAN rumah sering dibayangkan sebagai hukuman yang jauh lebih ringan daripada penjara. Seseorang tidak berada di sebalik jeriji besi, sebaliknya tinggal di kediaman sendiri, bersama kemudahan yang lebih manusiawi dan dalam lingkungan keluarga.
Namun dari sudut undang-undang dan hak asasi, gambaran ini tidak semudah itu.
Tahanan rumah tetap merupakan satu bentuk pelucutan kebebasan apabila seseorang tidak bebas meninggalkan kediamannya, berkomunikasi, menerima tetamu atau menjalani kehidupan awam seperti biasa.
Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri mengiktiraf bahawa tahanan rumah boleh termasuk dalam kategori deprivation of liberty, bergantung pada tahap sekatan yang dikenakan.
Amalan antarabangsa
Dalam amalan antarabangsa, tahanan rumah mempunyai sekurang-kurangnya tiga wajah.
Pertama, ia boleh menjadi sebahagian daripada sistem penghukuman atau pemulihan yang sah, misalnya apabila seseorang banduan dibenarkan menjalani sebahagian hukuman di rumah dengan pemantauan elektronik.
Amerika Syarikat, misalnya, mempunyai mekanisme home confinement bagi kategori tertentu banduan persekutuan dengan syarat pemantauan dan kawalan pergerakan.

Kedua, tahanan rumah boleh menjadi sebahagian daripada mekanisme pengampunan, pengurangan hukuman atau pengaturan khas negara.
Ketiga, dan paling kontroversial, ia boleh digunakan oleh pemerintah untuk membataskan kegiatan seorang pemimpin politik, aktivis atau tokoh pembangkang tanpa membebaskannya sepenuhnya.
Perbezaan ini penting kerana istilah ‘tahanan politik’ tidak seharusnya digunakan secara longgar terhadap semua ahli politik yang dipenjarakan. Seseorang ahli politik boleh dipenjarakan kerana kesalahan jenayah biasa, rasuah atau penyalahgunaan kuasa tanpa secara automatik menjadi tahanan politik.
Majlis Eropah, menerusi Resolusi 1900, antara lain mengaitkan istilah tahanan politik dengan keadaan apabila penahanan dibuat semata-mata atas alasan politik, apabila hukuman sangat tidak seimbang kerana motif politik, apabila seseorang diperlakukan secara diskriminatif atas sebab politik, atau apabila proses perbicaraan jelas tidak adil dan berkaitan dengan motif politik pemerintah.
Dengan kata lain, identiti seseorang sebagai ahli politik tidak dengan sendirinya menentukan sifat tahanannya.
Pengalaman Myanmar
Contoh yang paling terkenal ialah Aung San Suu Kyi di Myanmar. Beliau pernah menghabiskan hampir 15 tahun dalam tahanan rumah ketika era pemerintahan junta terdahulu.
Selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, beliau sekali lagi ditahan dan kemudiannya disabitkan atas pelbagai pertuduhan yang dikritik secara meluas oleh kerajaan asing, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi sebagai bermotif politik.
Pada April 2026, pihak berkuasa Myanmar mengumumkan bahawa baki hukumannya akan dijalani di sebuah kediaman yang ditetapkan, sekali gus memindahkannya daripada penjara kepada tahanan rumah.
Perubahan tempat tahanan itu mengurangkan sebahagian kekerasan fizikal pemenjaraan, tetapi tidak bermaksud beliau telah memperoleh kebebasan politik sepenuhnya.
Kes Aung San Suu Kyi menunjukkan paradoks tahanan rumah. Secara kemanusiaan, memindahkan seseorang yang berusia lanjut dari penjara ke tempat yang lebih selesa boleh dianggap satu kemajuan.
Namun dari perspektif hak politik, seseorang masih boleh terasing daripada masyarakat, media, parti dan penyokongnya. Rumah dalam keadaan sedemikian berubah daripada ruang peribadi menjadi sempadan politik. Ia lebih selesa daripada sel penjara, tetapi masih boleh berfungsi sebagai alat mengawal pengaruh.
Situasi Venezuela
Negara Venezuela turut memberikan perspektif yang berbeza. Pada Februari 2026, tokoh pembangkang Juan Pablo Guanipa dibebaskan selepas lebih lapan bulan ditahan, tetapi ditahan semula tidak lama kemudian dan diletakkan di bawah tahanan rumah di Maracaibo.
Ketika itu, beliau dipantau dan dikenakan sekatan komunikasi serta pergerakan.
Kesnya memperlihatkan bagaimana tahanan rumah boleh muncul di tengah-tengah proses rundingan politik, tekanan antarabangsa, pembebasan tahanan dan pengampunan.
Dalam keadaan seperti ini, garis antara pelonggaran hukuman dengan kesinambungan kawalan politik menjadi sangat tipis. Perintah tahanan rumah itu kemudian ditarik balik pada bulan sama.
Tanggapan masyarakat
Satu lagi perkara yang sering mengelirukan masyarakat ialah anggapan bahawa tahanan rumah semestinya suatu bentuk ‘kebebasan’. Daripada perspektif undang-undang, lokasi tidak menentukan sepenuhnya tahap kebebasan seseorang.
Seseorang boleh berada di kediaman yang selesa tetapi tetap tidak dibenarkan keluar, menerima tetamu tertentu, menggunakan media sosial atau menjalankan kegiatan politik.
Sebaliknya, terdapat juga skim tahanan rumah yang membenarkan pekerjaan, rawatan perubatan dan tanggungjawab keluarga dengan kebenaran pihak berkuasa. Oleh itu, penilaian yang adil mestilah melihat syarat sebenar, bukan semata-mata alamat tempat seseorang menjalani hukuman.
Pengampunan bersyarat
Malaysia pula perlu difahami dalam konteks perlembagaan dan sistem kehakimannya sendiri. Pada 18 September 2026, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta.
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka kuasa pengampunan, dan keputusan tersebut dibuat melalui proses Lembaga Pengampunan.
Setakat 21 September, pihak berkuasa memaklumkan bahawa syarat pembayaran denda itu belum diselesaikan dan pelaksanaan tahanan rumah masih memerlukan proses pentadbiran.
Situasi berbeza
Penting ditegaskan bahawa kes Najib tidak wajar disamakan secara mudah dengan Aung San Suu Kyi atau tokoh pembangkang yang ditahan atas dakwaan berkaitan kegiatan politik.
Najib telah melalui proses perbicaraan dan rayuan dalam kes SRC sehingga sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Pengampunan bersyarat pula tidak memadamkan sejarah proses kehakiman itu, ia mengubah cara baki hukuman dilaksanakan berdasarkan kuasa perlembagaan.
Penyokongnya berhak mempunyai pandangan politik dan penilaian moral sendiri terhadap beliau, manakala pengkritiknya juga berhak mempersoalkan implikasi terhadap tadbir urus dan persepsi kesamarataan undang-undang.
Tetapi dari sudut perspektif akademik, istilah ‘tahanan politik’ memerlukan ukuran yang lebih ketat daripada sekadar hakikat bahawa individu berkenaan ialah seorang pemimpin politik.
Di sinilah perbandingan antarabangsa berguna. Ia mengajar kita bahawa bentuk hukuman yang sama boleh membawa makna politik yang sangat berbeza dalam konteks tertentu.
Tahanan rumah terhadap seorang aktivis tanpa perbicaraan bebas tidak sama dengan tahanan rumah yang diperintahkan sebagai sebahagian sistem kehakiman.
Begitu juga, tahanan rumah berikutan pengampunan tidak sama dengan penahanan seorang pemimpin pembangkang untuk menghalangnya bertanding, berkempen atau berkomunikasi dengan penyokong.
Prinsip lebih jelas
Namun semua bentuk tahanan rumah tetap memerlukan prinsip yang lebih jelas dan terperinci. Syaratnya mesti diketahui, berasaskan undang-undang, boleh dilaksanakan secara konsisten dan tidak bergantung pada kedudukan sosial seseorang.
Negara juga perlu menjelaskan pihak yang perlu memantau, bentuk dan had komunikasi, keadaan yang membolehkan seseorang keluar untuk rawatan atau urusan tertentu, dan hukuman jika syarat dilanggar.
Ketelusan sedemikian bukan bertujuan mencabar kuasa sah mana-mana institusi, tetapi untuk melindungi keyakinan awam bahawa undang-undang berfungsi secara teratur dan boleh dijangka.
Dunia hari ini juga memperlihatkan bahawa persoalan tahanan politik tidak boleh dipisahkan daripada mutu institusi. Di negara yang kehakimannya bebas, pertuduhan dapat diuji secara terbuka, peguam diberi akses dan keputusan boleh dirayu, dakwaan bahawa seseorang dipenjarakan kerana politik boleh dinilai melalui bukti.
Sebaliknya, apabila mahkamah lemah, media dikawal, pembangkang ditekan dan tahanan tidak memperoleh proses yang adil, rumah yang dijadikan tempat tahanan boleh menjadi sekadar penjara tanpa tembok.
Rumusan
Akhirnya, ukuran sebuah negara berperlembagaan bukan sama ada ia menggunakan penjara atau tahanan rumah, tetapi dilihat berdasarkan cara atau mekanisme kuasa itu digunakan.
Kemanusiaan menuntut hukuman yang tidak kejam. Kedaulatan undang-undang menuntut proses yang konsisten. Keadilan pula menuntut kita membezakan antara belas ihsan, pengampunan dan pembebasan daripada tanggungjawab.
Dalam masyarakat yang matang, seseorang boleh menghormati institusi pengampunan, mempertahankan hak asasi tahanan dan pada masa sama menegaskan bahawa sabitan mahkamah, pengampunan dan status tahanan politik ialah tiga perkara yang berbeza.
Perbezaan inilah yang harus dipelihara agar perbahasan tentang tahanan rumah tidak berubah menjadi pertarungan sentimen, sebaliknya menjadi perbincangan tentang undang-undang, hak, institusi dan kemanusiaan.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.





