JAKARTA: Risiko kebakaran hutan dan tanah dijangka berterusan di beberapa kawasan di Indonesia hingga awal Oktober, dengan fenomena El Nino yang sangat kuat diramalkan akan memanjangkan keadaan kering dan menyebabkan jumlah hujan secara amnya kekal rendah di sebahagian besar negara itu.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan keadaan atmosfera yang agak kering masih ketara khususnya di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan, dengan tumpuan titik panas yang tinggi dikesan sepanjang 10 hari lepas, selain laporan mengenai kebakaran hutan dan tanah.
Agensi itu memaklumkan setakat 21 September, Kalimantan Tengah merekodkan tumpuan titik panas tertinggi dengan 5,283 titik panas, diikuti Sumatera Selatan sebanyak 1,485 dan Kalimantan Barat 1,357, manakala ratusan lagi dikesan di Kalimantan Selatan dan Kalimantan Timur.
“Apabila keadaan kering bertambah kuat, orang ramai dan kerajaan wilayah digesa supaya menjimatkan air dan meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman kemarau serta kebakaran hutan dan tanah,” menurut kenyataan agensi itu pada Selasa.
BMKG meramalkan jumlah hujan di kebanyakan kawasan di Indonesia kekal pada tahap rendah hingga sederhana dari akhir September hingga awal Oktober, meskipun hujan lebat setempat masih boleh berlaku apabila keadaan atmosfera jangka pendek menggalakkan pembentukan awan hujan di beberapa wilayah.
Dalam tinjauan musim hujan 2026-2027, BMKG memaklumkan lebih 60 peratus kawasan daratan Indonesia dijangka mengalami permulaan musim hujan yang lebih lewat berbanding purata jangka panjang bagi wilayah masing-masing, dengan banyak kawasan memasuki musim hujan pada November atau Disember.
Pegawai Kanan BMKG bagi Bidang Klimatologi Ardhasena Sopaheluwakan berkata musim hujan juga diramalkan lebih singkat daripada kebiasaan di lebih separuh kawasan daratan negara itu, namun keadaan itu tidak semestinya bermakna jumlah hujan akan lebih rendah sepanjang musim berkenaan.
“Walaupun ia diramalkan lebih singkat, musim hujan 2026/2027 secara amnya dijangka mencatat jumlah hujan normal,” katanya dalam kenyataan berasingan sambil menambah bahawa sesetengah kawasan mungkin menerima hujan melebihi paras normal, manakala sebahagian kecil kawasan diramalkan lebih kering daripada kebiasaan.
BMKG memaklumkan sebahagian besar Indonesia dijangka mencapai kemuncak musim hujan antara Disember dan Februari, walaupun waktu kemuncak musim hujan berbeza-beza di seluruh negara kepulauan yang luas itu.
Agensi itu turut menggesa pihak berkuasa supaya menambah baik sistem saliran dan meningkatkan kesiapsiagaan pemindahan bagi menghadapi banjir serta tanah runtuh pada permulaan dan kemuncak musim hujan, ketika negara itu bersiap sedia menghadapi peralihan daripada keadaan kering berpanjangan kepada peningkatan jumlah hujan. – Bernama




