SPAOH: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh berjaya menghapuskan ancaman dua sarang tebuan tanah bersaiz bola takraw yang ditemui di sebuah kebun di Tanjung Sebekut, di sini, semalam.
Menurut kenyataan APM Spaoh, pihaknya menerima aduan daripada seorang penduduk menerusi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) sekitar 6.00 petang selepas menyedari kewujudan dua sarang tebuan tanah di kawasan kebunnya.
Salah satu sarang berkenaan ditemui berhampiran tingkap rumah, manakala sebuah lagi berada di dalam tanah berhampiran pokok cempedak.
Kedua-dua sarang terbabit dilaporkan telah membesar sehingga bersaiz kira-kira bola takraw, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
Susulan aduan itu, Skuad Bravo APM Spaoh diketuai Prebet Muhamad Firdaus Lihi bersama tiga anggota segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tindakan pemusnahan sarang.
Anggota APM yang lengkap memakai pakaian perlindungan khas kemudian menjalankan operasi dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan serangan tebuan ketika menghampiri sarang.
Menurut APM Spaoh, kedua-dua sarang berkenaan berjaya dimusnahkan sepenuhnya menggunakan teknik pembakaran dengan semburan Ridsect.
Operasi yang berisiko itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan ditamatkan kira-kira jam 7.40 malam.
APM Spaoh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba mengendalikan atau memusnahkan sendiri sarang tebuan sekiranya menjumpainya, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko kecederaan.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Spaoh di talian 083-473006 atau melalui talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman




