KUCHING: Projek pembangunan Samarahan Boulevard bernilai RM127 juta bakal memasuki Fasa 2 dengan siling peruntukan RM70 juta yang dijangka ditender tahun ini, manakala Fasa 1 bernilai RM25 juta kini dalam pelaksanaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Fasa 1 sedang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) walaupun mengalami sedikit kelewatan.
“Fasa 1, RM25 juta dan sedang berjalan dengan baik walaupun ada sedikit kelewatan, tapi ia sepatutnya disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bil. 2/2026 di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya berkata, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dijangka membuka tender bagi Fasa 2 tahun ini dengan siling peruntukan RM70 juta.
Katanya, keseluruhan projek berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua atau tiga tahun.
“Kita akan melihat satu boulevard yang cukup cantik untuk kita mengadakan program-program tunggak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pembangunan Samarahan Boulevard juga bertujuan menyediakan ruang yang lebih sesuai bagi penganjuran acara besar, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap lokasi di pusat bandar Kuching yang sering berdepan kesesakan ketika sesuatu acara berlangsung.
“Seperti apa yang kita maklumkan kepada media dan rakyat sebelum ini, Padang Merdeka semakin sesak. Setiap kali acara diadakan di sana, seluruh Kuching sesak.
“Jadi sekarang kita merancang untuk membawanya ke boulevard kita sendiri,” katanya.
Menurutnya, konsep boulevard itu mengambil contoh lokasi di Putrajaya, Dataran Tiananmen, China dan Dataran Isfahan, Iran yang menyediakan ruang riadah serta penganjuran acara berskala besar.




