Tiga lokasi semarak Pesta Kuih Bulan Kuching Selatan

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng (tengah) dan Wilfred Yap (tiga kanan) selepas sidang media mengenai sambutan Pesta Kuih Bulan yang bakal berlangsung di tiga lokasi sekitar Kuching Selatan, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menganjurkan sambutan Pesta Kuih Bulan di tiga lokasi sekitar Kuching Selatan tahun ini, masing-masing di Taman Trafik Kenyalang, Taman Hui Sing dan Taman Sahabat.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pendekatan itu bertujuan membawa sambutan lebih dekat kepada penduduk dengan menyediakan program di kawasan kejiranan masing-masing.

“Kenapa tiga lokasi? Kerana kami mahu membawa sambutan ini lebih dekat kepada masyarakat.

“Daripada meminta semua orang datang ke satu lokasi utama, kami membawa program ini terus ke kawasan kejiranan supaya keluarga, warga emas, golongan muda dan kanak-kanak dapat keluar dan menikmati sambutan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai sambutan Pesta Kuih Bulan di MBKS, hari ini.

Menurutnya, sambutan di Taman Trafik Kenyalang akan berlangsung pada 24 dan 25 September dari 6.30 petang hingga 10.30 malam, dengan pelbagai aktiviti termasuk gerai makanan, persembahan secara langsung, persembahan badut, pemberian belon, tanglung dan kuih bulan percuma selagi bekalan masih ada.

Katanya, aktiviti go-kart elektrik untuk kanak-kanak turut menjadi antara tarikan utama, selaras dengan konsep Taman Trafik Kenyalang.

Sementara itu, sambutan di Taman Hui Sing pada 25 September dari 6.00 petang hingga 9.00 malam menampilkan pemberian tanglung dan kuih bulan percuma, permainan, teka-teki tanglung, dinding harapan serta persembahan secara langsung.

Di Taman Sahabat pula, program MOON IN 2.0 berlangsung dari 17 hingga 27 September, dari 4.00 petang hingga 11.00 malam, selain Project Shori, iaitu pengalaman bertemakan imersif di tingkat dua bangunan Chagee pada tarikh terpilih.

Wee berkata, pendekatan berbeza di ketiga-tiga lokasi itu membolehkan sambutan Pesta Kuih Bulan diraikan dalam suasana lebih dekat dengan masyarakat, termasuk memperkenalkan elemen lebih kontemporari kepada golongan muda.

“Tradisi juga perlu diberi ruang untuk berkembang mengikut zaman. Kami mahu golongan muda mengalami Pesta Kuih Bulan dengan cara yang menarik minat mereka, pada masa sama memahami makna di sebalik sambutan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, penganjuran itu turut bertujuan menghidupkan fungsi taman dan ruang awam sebagai tempat pertemuan masyarakat, selain menggalakkan keluarga meluangkan masa bersama dan jiran saling mengenali.

Menurutnya, usaha memperkenalkan tradisi kepada generasi muda penting supaya nilai dan makna Pesta Kuih Bulan tidak hilang dalam perubahan zaman.

“Kanak-kanak perlu diberi peluang membawa tanglung, menyelesaikan teka-teki, menikmati kuih bulan serta meluangkan masa bersama ibu bapa dan datuk nenek,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wee berkata, sambutan Pesta Kuih Bulan di Kuching Selatan terbuka kepada semua lapisan masyarakat meskipun perayaan itu berakar daripada budaya masyarakat Cina.

“Ini Kuching. Kita ialah bandar berbilang budaya. Kita meraikan Hari Raya, Gawai, Krismas, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan pelbagai perayaan lain bersama-sama,” katanya.

Beliau mengajak orang ramai hadir ke ketiga-tiga lokasi berkenaan bersama keluarga, rakan dan jiran untuk menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap.

Oleh Adele Rissa