SPAOH: Penyiapan Jalan Putus ke Nanga Bangkit bukan sahaja memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar, malah memendekkan tempoh perjalanan penduduk ke Pekan Spaoh daripada sekitar satu jam kepada hanya 15 minit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kemudahan jalan yang baik amat penting bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati akses perhubungan yang lebih mudah dan selamat.
“Dengan siapnya jalan ini, perjalanan yang sebelum ini mengambil masa agak lama kini menjadi lebih singkat.
“Ini menunjukkan betapa pentingnya kita menyediakan hubungan jalan yang baik untuk kawasan-kawasan yang memerlukan kemudahan seperti ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, laluan berkenaan mempunyai fungsi lebih luas kerana turut menghubungkan beberapa rumah panjang di kawasan sekitar, sekali gus membuka ruang kepada perkembangan aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.
Projek bernilai RM350,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 itu melibatkan pembinaan jalan konkrit sepanjang 911 meter dan berjaya disiapkan beberapa bulan lebih awal daripada jadual asal pada awal November ini.
Kemudahan tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk di Rumah Panjang Matop, Beduru, Sungai Plandok, Teberu, Munggu Gernis, Pelawa, Nanga Bangkit Ulu, Nanga Bangkit Ili dan Rumah Panjang Putus.
Tuai Rumah Panjang Putus, Ganja Biai, berkata jalan baharu itu banyak memudahkan urusan harian penduduk, khususnya mereka yang berulang-alik ke Pekan Spaoh atas urusan pekerjaan dan keperluan lain.
“Dari segi jarak dan perjalanan dari Nanga Bangkit ke Putus dan ke Pekan Spaoh, sekarang tidak sampai 15 minit. Ini banyak memudahkan urusan kerja kami yang sebelum ini agak sukar,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Panjang Nanga Bangkit Ili, Joseph Suat Mara, berharap penduduk kedua-dua rumah panjang dan pengguna jalan berkenaan dapat bersama-sama menjaga kemudahan tersebut supaya kekal selamat dan boleh digunakan untuk tempoh yang panjang.
Majlis penyerahan projek siap itu turut dihadiri Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Sharifah Shafirah Wan Ibrahim, wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban, wakil kontraktor Nikmat Ikhtiar serta penduduk rumah panjang berkaitan.
Oleh Adi Safarman





