SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, menyeru rakyat supaya memberikan sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan di Sri Aman khususnya dan Sarawak amnya.
Beliau berkata kestabilan politik serta mandat yang kukuh amat penting bagi membolehkan pelbagai perancangan pembangunan diteruskan demi meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat.
Menurutnya, sokongan berterusan masyarakat terhadap kerajaan yang memerintah turut menjadi antara faktor penting dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat diteruskan secara berkesinambungan.

“Pembangunan yang dirancang memerlukan kestabilan dan kerjasama semua pihak supaya manfaatnya dapat terus dirasai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kursus Dapur Sihat Keluarga anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Aman di Rumah Rami Jaritan, Sebemban Asal, semalam.
Dalam pada itu, Doris turut menjelaskan mengenai peruntukan RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini untuk Sarawak.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan merupakan langkah interim sementara formula tetap di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan menerusi rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak.
Menyentuh mengenai kursus berkenaan, beliau berkata kemahiran memasak bukan sekadar rutin harian, malah mempunyai nilai sosial dan ekonomi yang besar, khususnya kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, aktiviti memasak mampu menggalakkan amalan pemakanan sihat, memelihara resipi tradisional serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti.

“Pada masa sama, kemahiran ini dapat membantu masyarakat memanfaatkan hasil pertanian tempatan sekali gus mewujudkan peluang ekonomi di kawasan setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa bidang masakan kini tidak lagi boleh dianggap sebagai kemahiran yang sinonim dengan golongan wanita semata-mata, memandangkan ramai cef terkenal di restoran dan hotel terkemuka terdiri daripada lelaki.
Menurutnya, kemahiran memasak juga berpotensi dijadikan sumber pendapatan melalui pelbagai bidang seperti perniagaan makanan dari rumah, perkhidmatan katering, gerai makanan serta penghasilan produk makanan tradisional.
Katanya, perkembangan industri makanan tempatan turut memberi manfaat kepada petani, nelayan dan penternak, selain membuka ruang untuk memperkukuh sektor pelancongan melalui promosi makanan warisan serta keunikan kulinari tempatan.
Turut hadir Pegawai KEMAS Sri Aman, Hazlinah Samir; Pegawai KEMAS Lubok Antu, Marinda Steward; para kaunselor serta barisan tuai rumah.
Oleh Adi Safarman




