Liputan telekomunikasi, internet lemah jadi tumpuan penduduk Empawah

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau bersama pasukannya beramah mesra dengan penduduk ketika mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah di kawasan Empawah, Sibu, baru-baru ini.

SIBU: Penambahbaikan bekalan air susulan siapnya Sistem Akuat Rawatan Air di Sungai Sadit memberi kelegaan kepada penduduk Empawah, namun masalah liputan telekomunikasi dan capaian internet masih menjadi antara isu utama yang dibangkitkan komuniti setempat.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, perkara itu dikenal pasti ketika beliau bersama pasukannya meneruskan khidmat bergerak dari rumah ke rumah di kawasan Empawah baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi kunjungan itu, pasukannya melawat sembilan rumah, termasuk kediaman seorang warga emas di Sungai Sadit yang baru dibenarkan keluar dari hospital.

“Penduduk memaklumkan keadaan bekalan dan tekanan air di kawasan berkenaan kini bertambah baik dengan ketara susulan siapnya Sistem Akuat Rawatan Air di Sungai Sadit.

“Bagaimanapun, masalah liputan telefon mudah alih dan sambungan internet yang lemah masih memerlukan perhatian kerana ia menjejaskan komunikasi harian serta akses kepada perkhidmatan dan maklumat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lau berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa peluasan infrastruktur gentian optik telah dilaksanakan di kawasan berkenaan, namun status dan tahap pelaksanaannya masih perlu diperjelaskan.

Sehubungan itu, beliau berkata, SUPP Cawangan Bawang Assan akan membuat susulan dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kemudahan tersebut.

KEVIN Lau beramah mesra dengan penduduk ketika meninjau keadaan komuniti di Empawah.

“Persoalan yang kini menjadi tumpuan ialah sejauh mana kemudahan gentian optik yang telah diperluaskan itu benar-benar dapat dimanfaatkan penduduk setempat,” katanya.

Mengulas pendekatan turun padang berkenaan, Lau berkata, khidmat dari rumah ke rumah bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan, sebaliknya memberi ruang kepada pihaknya mendengar secara langsung permasalahan dan keperluan penduduk.

Beliau berkata, pendekatan bersemuka turut membolehkan isu setempat dikenal pasti dengan lebih dekat, termasuk perkara yang mungkin tidak dapat diketengahkan menerusi saluran rasmi.

“Penambahbaikan bekalan air menunjukkan isu kemudahan asas boleh ditangani melalui perhatian dan tindakan susulan berterusan.

“Justeru, tumpuan kini turut diberikan kepada keperluan komunikasi yang stabil dan boleh dipercayai bagi memastikan penduduk tidak tercicir daripada akses kepada maklumat serta perkhidmatan,” katanya.

Lau berkata, pihaknya akan terus membuat susulan terhadap isu yang dibangkitkan penduduk bagi memastikan kebimbangan komuniti diberi perhatian sewajarnya.

Oleh Tarani Lanting

DUN Melaka dijangka dibubar hari ini

MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 2.00 petang ini di Kompleks